Pembekuan jualan semula rumah Rumawip kekal 10 tahun

Pembekuan jualan semula rumah Rumawip kekal 10 tahun

Menteri Wilayah Persekutuan berkata pemilik tidak perlu menjual rumah mereka, sebaliknya disimpan untuk dijadikan aset untuk anak.

tengku-adnan-mansor
KUALA LUMPUR:
Menteri Wilayah Persekutuan berkata tempoh pembekuan jualan semula rumah mampu milik di ibu kota di bawah skim Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) kekal 10 tahun.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata arahan moratorium itu bagi mengelak pembeli membuat spekulasi terhadap harga pasaran rumah.

“Kita tidak mahu rakyat menjual rumah yang dibeli pada harga lebih rendah, berbanding harga pasaran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Residen Seri Wahyu, salah satu projek Rumawip hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 17 Januari lalu, mengatakan moratorium jualan semula rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dikurangkan daripada 10 kepada 5 tahun.

Najib berkata penurunan itu untuk membuat projek perumahan lebih menarik.

Manakala Adnan pula berkata projek Rumawip berbeza dengan projek PR1MA.

“Rumah Rumawip terletak di kawasan utama Wilayah Persekutuan, sedangkan rumah PR1MA ada di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu menjual rumah mereka tetapi disimpan sebagai aset untuk anak mereka nanti.

Rumawip merupakan inisiatif kerajaan kepada orang ramai untuk memiliki rumah dengan harga yang lebih rendah di ibu kota.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.