Demi elak rasuah, Adun Selangor perlu isytihar harta

Demi elak rasuah, Adun Selangor perlu isytihar harta

Adun Kampung Tunku berkata isu rasuah bukan perkara remeh kerana ia boleh menjejaskan imej pelaburan negara akibat pentadbiran yang lemah.

lau-weng-san_rumah1
SHAH ALAM:
Adun Selangor daripada DAP menggesa pegawai kerajaan dan semua Adun di negeri itu mengisytiharkan harta masing-masing supaya bebas daripada penyelewengan.

Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) pada sidang DUN Selangor hari ini berkata ia perlu dilakukan supaya tidak ada penyelewengan dalam kalangan kakitangan kerajaan, seperti yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan pusat.

“Bagi memastikan pentadbiran telus dan bersih saya mencadangkan pada masa akan datang supaya mengarahkan pegawai atasan kerajaan dan Adun Selangor mengisytiharkan harta dan aset.

“Ini boleh memastikan kerajaan di Selangor tidak terjerumus dalam skandal rasuah dan bagi memastikan ia telus.

“Kita boleh mengambil badan pemantau bebas daripada pengaruh kerajaan negeri seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika berucap di DUN hari ini.

Lau berkata isu rasuah bukan perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia boleh menjejaskan imej pelaburan negara akibat daripada pentadbiran yang lemah.

Sementara itu, Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) berkata pihaknya bersetuju jika cadangan pengisytiharan harta melibatkan semua Adun dan kakitangan kerajaan dibentangkan dan dibahaskan di dalam Dewan.

Bagaimanapun, cadangan sama pernah dicadangkan pada sidang DUN lepas namun tidak ada seorang pun wakil rakyat kerajaan membentangkannya, malah kertas cadangan tersebut ditarik balik.
“Sebenarnya kerajaan negeri pernah mencadangkan satu kertas cadangan untuk diangkat dalam Dewan dan dibahaskan mengenai pengisytiharan harta.

“Kita tidak ada masalah, tapi saya kesal apabila kertas itu tidak dikemukakan dan ditarik balik,” katanya kepada wartawan di lobi DUN.

Beliau pada masa sama turut mendakwa kerajaan Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Azmin Ali tidak berani membahaskan usul tersebut kerana pentadbiran sedia ada tidak telus.

“Zaman Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar dia sudah lakukan pengisytiharan harta, nampak beliau telus daripada menteri besar sekarang.

“Jadi saya nak kata nampaknya isu ini hanya hangat-hangat tahi ayam kerana kertas cadangan ditarik balik,” katanya.

Sulaiman pada masa sama turut membidas Lau kononnya memperjuangkan ketelusan dan integriti sebaliknya gagal menegur pemimpin DAP sendiri yang terpalit dengan rasuah.

“Saya fikir sebelum beliau (Lau) ulas isu rasuah beliau perlu mengingatkan ketua menteri Pulau Pinang yang didakwa dan disiasat supaya bercuti atau letak jawatan.

“Jadi Kampung Tunku jangan nak tuding jadi kepada orang lain tegur dulu pimpinan parti sendiri,” katanya merujuk kepada desakan Lau supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak letak jawatan kerana didakwa terlibat dengan salah guna kuasa.

Tahun lalu, Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata enakmen mewajibkan seluruh Adun di Selangor dan Pulau Pinang untuk membuat pengisytiharan harta perlu dilaksanakan.

Wakil rakyat pembangkang wajib isytihar harta elak seleweng

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.