Biar ‘orang malas’ bising, Norashikin seronok bela anjing

Biar ‘orang malas’ bising, Norashikin seronok bela anjing

Wanita muda ini menerima perhatian kerana menguruskan haiwan yang selalunya dijauhi masyarakat Islam di Malaysia.

norashikin-3
ALOR GAJAH:
Seorang wanita Melayu yang mendapat perhatian atas tindakannya menjaga puluhan anjing dan kucing terbiar bertekad untuk meneruskan usahanya demi rasa prihatinnya terhadap kebajikan haiwan.

Norashikin Ahmad, 24, mengakui masyarakat Islam di Malaysia pada umumnya menjauhi anjing atas sebab kebersihan, tetapi berkata agama Islam sudah mempunyai penyelesaian.

“Islam itu mudah, hanya orang malas akan pertikaikan,” katanya kepada FMT yang melawat Norashikin bersama lebih 50 anjing dan hampir 200 kucing yang diselamatkannya sejak 2014.

Dia mengakui usahanya itu berdepan pelbagai cabaran, terutama apabila membabitkan anjing, haiwan peliharaan yang rata-rata bukan menjadi pilihan masyarakat Melayu di negara ini.

Anjing curi kambing

Norashikin menceritakan pelbagai perbuatan khianat yang pernah dilakukan penduduk sekitar, termasuk tuduhan anjingnya membunuh kambing di kampungnya.

Aduan penduduk kampung menyebabkan pusat jagaannya itu hampir disita Majlis Perbandaran Alor Gajah.

“Apabila saya minta bukti, mereka tidak dapat bagi. Kucing depan mata pun, anjing saya tak makan. Inikan nak makan kambing yang besar, tak logik,” katanya ketika ditemui FMT di kediamannya.

Kucing jagaannya juga dituduh memecahkan pasu rumah.

Ibu Norashikin bekerja sebagai penjual nasi lemak, dan perniagaannya itu turut terkena tempias rasa tidak puas hati orang ramai.

“Gerai ibu saya semakin berkurang pelanggan yang datang,” katanya, dan menambah dia terpaksa menjelaskan ibunya tidak menjaga haiwan peliharaannya.

“Barulah mereka tidak meminggirkan ibu saya. Pada saya biarlah orang luar menilai saya seorang.”

norashikin-2

Seronok

Bagi Norashikin, tidak ada perkara yang dapat mematahkan semangatnya untuk terus menyelamatkan dan memberi perlindungan kepada anjing dan kucing.

“Saya tidak menyesal tetapi saya rasa seronok dan bersyukur. Bila saya jaga anjing dan kucing yang sakit sehingga mereka sihat, saya rasa seronok kerana peluang dia (haiwan peliharaan) untuk hidup cerah,” katanya.

Norashikin yang mempunyai kerja tetap di sebuah agensi swasta berkata setiap bulan, beliau menghabiskan RM8,000 untuk kos makanan dan keperluan harian untuk anjing dan kucingnya, tidak termasuk kos rawatan.

Gaji kurang RM2,000 tidak cukup menampung kos tersebut, mendorong Norashikin membuka akaun khas Facebook “group kucing dan anjing” meminta sumbangan orang ramai.

“Pada mulanya agak sukar sebab orang tidak percaya saya, tetapi lama-kelamaan bila orang ramai mengikuiti perkembangan saya, mereka percaya,” katanya.

Kini, Norashikin mempunyai 2 orang pembantu menjaga haiwan yang diselamatkannya, yang menurutnya sanggup bekerja dengan upah rendah.

‘Orang malas’

Norashikin berkata menyelamatkan dan memelihara anjing tidak menjadi masalah jika pandai mengurus dan menjaga tatatertib penjagaan anjing.

Katanya, beliau pernah meminta pandangan daripada guru agamanya.

“Saya tanya apa hukumnya bela anjing. Dan pensyarah saya terangkan, untuk jaga kawasan rumah, jaga ternakan, jaga kebun, boleh.

“Ustaz kata tidak salah sebab kita melindungi sementara, tetapi kita tidak letak dalam rumah. Dan saya menjaga haiwan ini semua di luar kawasan rumah,” katanya, dan menambah dia mengamalkan samak untuk bersuci selepas bersentuhan dengan anjing.

“Tak ada isu, tetapi orang malas akan jadikan isu. Islam itu mudah, hanya orang malas akan pertikaikan,” katanya.

Salah seorang pekerja di shelter Norashikin, Muhammad Danial Zamsuria, 23, berkata dia juga turut menerima pelbagai kritikan daripada penduduk dan rakan sebaya.

Tetapi Danial menganggap kerjanya berbakti sesama mahkluk Allah.

“Saya tidak kisah, biar orang kutuk saya,” katanya.

Impian shelter baharu

Norashikin kini mengimpikan membeli sebidang tanah di sekitar Alor Gajah untuk membina sebuah pusat jagaan yang lebih sempurna.

“Saya rancang kalau boleh tak nak ikat dan lepaskan mereka macam biasa. Mungkin ada shelter tetapi saya akan tutup kawasan sekeliling kawasan, hanya orang kenal sahaja boleh masuk.

“Itu sasaran saya,” katanya.

“Saya tidak sampai hati nak melihat haiwan terbuang itu sebab kesian. Cuba kita bayangkan kita berada di tempat mereka, kita dibuang tidak ada tempat tinggal, tiada makanan, di dalam kawasan panas dan terdedah dengan ancaman binatang yang lebih besar.”

Menyelamatkan anjing dapat pahala, kata mufti

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.