Jaminan ‘mulut’ tak sah tanpa hitam putih, kata kesatuan pekerja KTMB

Jaminan ‘mulut’ tak sah tanpa hitam putih, kata kesatuan pekerja KTMB

Abdul Razak Md Hassan berkata, tiada dokumentasi atau perbincangan diadakan sehingga kini.

abdul-razak_ktm_600
PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) enggan menerima jaminan “mulut” Kementerian Pengangkutan yang 4,000 pekerja KTMB bakal terbabit dalam Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA), tidak akan hilang pekerjaan.

Ini kerana kata Presidennya, Abdul Razak Md Hassan, jaminan diberikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang mereka tidak akan hilang pekerjaan dan semua faedah dikekalkan seperti dijanjikan, tidak sah tanpa sebarang bukti dokumen.

Tambahan, katanya, RNAA ialah penganiayaan dan kezaliman kepada KTMB, pekerjanya dan rakyat.

“Pihak kesatuan beranggapan kenyataan ini sebagai mengaburi mata dengan niat menutup kelemahan RNAA yang kini menjadi isu, malah ianya tidak boleh dianggap sebagai satu jaminan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razak berkata, tiada dokumentasi atau perbincangan diadakan sehingga kini, oleh itu semua faedah dan syarat dalam Perjanjian Bersama yang ditandatangani sebelum ini akan terbatal, apabila pekerja dipindahkan ke syarikat baru dan tertakluk kepada syarat perkhidmatan baru.

Semalam, Aziz dilaporkan berkata, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan pekerja KTMB yang bakal terlibat dengan RNAA tidak akan kehilangan pekerjaan, sebaliknya mereka akan diserap masuk ke dalam anak syarikat milik KTMB.

“Saya jamin gaji, faedah, dan apa-apa kelebihan yang dinikmati sebagai pekerja KTMB ketika ini tidak akan hilang mahupun berkurangan,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam.

Razak berkata, kewujudan anak syarikat tiada perbezaan dengan KTMB kerana ia sekadar untuk mengaburi mata rakyat.

Beliau memberi contoh Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang sepatutnya disumber luarkan, tetapi rancangan itu dibatalkan atas bantahan Kesatuan Pekerja KTMB.

“Hari ini, ETS mencatat keuntungan berakhir Disember 2016 sebanyak RM16.7 juta. Keuntungan ini menampung kerugian KTMB. Justeru, cadangan menjadikan anak syarikat tidak relevan, secara jelas dan nyata ianya sekadar mengaburi mata.”

Walaupun menghargai jaminan tambang tidak akan dinaikkan, Razak bagaimanapun mempersoalkan kemampuan KTMB membayar sewa penggunaan aset apabila pendapatannya tidak mencukupi.

Beliau turut menyangkal wujud ketirisan dan kronisme dalam KTMB kerana Lembaga Pengarah KTMB yang diketuai Datuk Nawawi Ahmad sudah membuktikan ketelusan dan integriti mereka dengan melakukan siasatan dalaman serta menggantung presidennya yang melanggar prosedur perolehan.

Razak berkata, jika kerajaan tidak berpuas hati dengan kenyataannya, pihaknya sedia berdebat dengan menteri pengangkutan atau Aziz, dan mereka akan menerima dengan hati terbuka, jika kalah dalam perdebatan itu.

RNAA ialah perjanjian antara Perbadanan Aset Kereta Api (RAC), yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan dengan KTMB.

RNAA sejajar klausa 89 Akta Keretapi 1991 untuk mengasingkan pengendali perkhidmatan kereta api yang mana diuruskan KTMB, manakala pemilikan, pengurusan dan penyelenggaraan segala aset kereta api bakal diuruskan RAC.

 

Pekerja KTMB tidak akan hilang pekerjaan

Persatuan pekerja tuntut janji Tiong Lai bincang isu KTMB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.