Mayat Jong Nam: Malaysia dijangka umum pendirian segera, mungkin hari ini

Mayat Jong Nam: Malaysia dijangka umum pendirian segera, mungkin hari ini

Besar kemungkinan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkannya, kata Dr Subramaniam

Subramaniam_kim-jong-nam_kore_600
BANGI:
Kerajaan dijangka memutuskan segera tindakan ke atas mayat Kim Jong Nam yang juga abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, kata menteri kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Katanya, perbincangan masih dijalankan dengan pelbagai pihak termasuk Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan Korea Utara.

“Saya rasa kita akan membuat pengumuman segera, mungkin secepat hari ini mengenai keputusan kerajaan.

“Beberapa keputusan sudah dicapai dan saya yakin satu pengumuman akan dibuat segera. Pengumuman mungkin dibuat secepat hari ini,” katanya selepas merasmikan pembinaan bangunan baru SJK (T) Bangi, di sini hari ini.

Ditanya sama ada mayat Jong Nam akan dihantar ke Korea Utara, Dr Subramaniam berkata: “Saya tidak tahu tetapi dimaklumkan satu keputusan akan dibuat segera.”

“Besar kemungkinan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkannya.”

Beliau berkata apa juga keputusannya, fakta dan akibat daripada pembunuhan itu masih kekal dan Kementerian Kesihatan akan mematuhinya.

Dr Subramaniam berkata, faktanya kekal seorang warga Korea Utara datang ke Malaysia dan mati akibat racun saraf dan kematiannya telah dibuktikan oleh ujian toksikologi dan laporan bedah siasat.

“Kami konsisten dan pasti dengan penemuan itu. Kes membabitkan seorang wanita Indonesia dan Vietnam tetap akan berjalan,” katanya.

Dr Subramaniam berkata banyak peluang telah diberi kepada waris Jong Nam untuk menuntut mayatnya dan jika mereka tidak tampil, kerajaan perlu membuat keputusan.

Satu laporan media Jepun menyatakan beberapa pegawai Korea Utara berada di Kuala Lumpur untuk berbincang dengan kerajaan Malaysia mengenai kes Jong Nam.

Pada 13 Februari lepas, Jong Nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menungggu penerbangan untuk ke Macau.
Dia dihampiri 2 wanita warga asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX. Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.