Kerajaan kaji peraturan ketat bentuk gaya hidup sihat

Kerajaan kaji peraturan ketat bentuk gaya hidup sihat

Justeru kata beliau, menguatkuasakan peraturan adalah langkah "terakhir" manakala promosi kesihatan menjadikan keutamaan dalam ucaha pencegahan bagi memastikan orang ramai menjalani gaya hidup lebih sihat.

dr-chee
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mempertimbangkan keperluan memperkenalkan peraturan ketat dan kawal selia lebih ketat semakin mendesak kerana usaha promosi kesihatan gagal menghalang penyakit-penyakit berkaitan gaya hidup.

Kementerian memperkenalkan pelbagai peraturan gaya hidup seperti zon bebas asap rokok kerana usaha meningkatkan kesedaran kesihatan bagi memastikan rakyat Malaysia mengamalkan kehidupan lebih sihat tidak begitu berkesan.

Pada satu forum awal minggu ini, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, Dr Chong Chee Kheong berkata, pihaknya terpaksa menguatkuasakan peraturan dengan mengambil kira kepentingan kesihatan rakyat.

“Ia bukan bermakna orang tidak mendengar, tetapi ia seolah-olah masuk satu telinga dan keluar di telinga yang lain.”

Justeru kata beliau, menguatkuasakan peraturan adalah langkah “terakhir” manakala promosi kesihatan menjadikan keutamaan dalam usaha pencegahan bagi memastikan orang ramai mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Menurut beliau, meskipun kerajaan secara aktif menyokong gaya hidup yang lebih sihat sejak 1991 tetapi ia tidak menemui kejayaan yang diharapkan.

“Pengkritik mendakwa usaha promosi kesihatan kita belum cukup baik sehingga menyebabkan orang tidak mengambil peduli,” kata beliau pada forum mengenai peraturan gaya hidup dan kesannya ke atas perniagaan yang dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.

Menurut beliau, kajian kerajaan menunjukkan orang ramai menyedari pilihan gaya hidup sihat tetapi tidak memilih untuk menjadikannya sebagai satu amalan.

“Oleh itu, pada satu-satu ketika, kita akan melihat keperluan untuk mengadakan sesuatu (pendekatan) yang lebih tegas berbanding promosi kesihatan.”

Dengan merujuk kepada perangkaan kes-kes kencing manis, tekanan darah tinggi, dan hiperkolesterolemia telah meningkat sejak beberapa tahun, beliau menambah, justifikasi bagi menguatkuasakan peraturan diambil kira apabila “angka kesihatan berada di paras merisaukan.”

Hampir 50% rakyat Malaysia yang berusia lebih 18 tahun mempunyai berat badan berlebihan atau obes, hampir 40% berhadapan dengan masalah kolesterol yang tinggi, 39% mempunyai tekanan darah tinggi dan 17% adalah menghidap kencing manis.

Jun lalu, timbalan menteri kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, terdapat rancangan untuk mengenakan cukai ke atas minuman manis bergula bagi mengawal obesiti dan penyakit-penyakit tidak berjangkit yang berkaitan dengan makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.