
Anthony Loke berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang mendakwa DAP menghadapi masalah dalaman di mana ramai ahli tidak boleh menyuarakan rungutan mereka terhadap Kit Siang yang terus menerajui parti itu selepas 5 dekad.
Pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) itu mendakwa ahli DAP di peringkat akar umbi mahu peralihan kuasa kepada seorang pemimpin lebih progresif dan bersifat sederhana berbanding pandangan terlalu “ekstrem” yang diperlihatkan Kit Siang.
“Jika beliau fikir Lim tidak popular, maka ada lebih banyak alasan untuk BN mengharapkan Lim bertanding pada pilihan raya akan datang.
“Kenapa BN begitu takut melawan beliau?” soalnya ketika dihubungi FMT hari ini.
Setiausaha organisasi kebangsaan DAP itu turut mengingatkan Rahman perkara dalaman DAP bukan urusan beliau.
“Dan keputusan sama ada Lim akan menjadi pemimpin parti itu biar pucuk pimpinan parti yang putuskan. Ia bukan urusan Rahman.
“Saya pasti ahli parti masih melihat Lim sebagai aset kepada parti.”
Kit Siang yang merupakan ahli Parlimen Gelang Patah hari ini mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen di Johor itu, jika beliau diturunkan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Ketua Parlimen DAP itu berkata demikian selepas menjadi sasaran poster “Pernahkah anda melihat Uncle Lim Kit Siang?” yang dipasang di sekitar Gelang Patah untuk mengejek Kit Siang “hilang” dari kawasan Parlimennya.