Tinjauan: Sebahagian besar rakyat keliru makna liberalisme

Tinjauan: Sebahagian besar rakyat keliru makna liberalisme

Badan pemikir Ideas berkata majoriti responden menyokong pilihan raya, kebebasan bersuara dan media, tetapi majoriti juga sokong kawalan kerajaan dan Akta Hasutan

 

ideas_rakyat_malaysia_klcc_600
PETALING JAYA: Majoriti rakyat tidak sepenuhnya faham istilah “liberal”, menurut tinjauan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Tinjauan itu, melibatkan 1,207 responden dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, melihat tahap pemahaman dan sikap orang ramai terhadap liberalisme dalam isu politik, ekonomi dan sosial.

Tinjauan mendapati hanya 51% pernah mendengar istilah liberalisme, responden lain tidak pernah dengar atau tidak pasti.

Sementara majoriti responden (78%) berkata mereka tidak memahaminya atau tidak pasti.

Sejumlah 81% daripada responden yang berusia bawah 40 dan 72% daripada responden yang berusia atas 40 tidak memahaminya. Hanya 71% daripada orang Melayu Islam berkata mereka faham apa itu liberalisme.

Ketika diminta menjelaskan maksud liberalisme, 55% berkata mereka tidak pasti. Daripada jumlah itu, 64% adalah orang Islam dan 43% orang bukan Islam.

Bagaimanapun, hanya 13% orang bukan Islam dan 29% orang Islam mengatakan liberalisme konsep yang buruk. Majoritinya tidak pasti atau menyangka liberalisme konsep yang baik.

Majoriti penentang liberalisme berkata demikian kerana ia memudaratkan agama, terutamanya Islam. Selebihnya (20%) tidak pasti mengapa mereka merasakan ia konsep yang buruk.

Namun, Ideas menambah apabila istilah berbeza digunakan untuk menggambarkan unsur liberalisme, peratusan besar responden menyokong idea itu.

“Ini mengundang persoalan adakah bantahan yang ditunjukkan minoriti kerana mereka kurang faham makna istilah itu, kerana apabila kami tidak menggunakan istilah ‘liberalisme’ secara jelas, jawapan semakin positif terhadap amalan liberal,” katanya.

Majoriti responden (84%) menyokong demokrasi berpilihan raya, termasuk pilihan raya bebas dan adil, sementara 77% percaya Malaysia sudah bersedia untuk mengamalkan kebebasan bersuara dan media. Manakala 91% percaya kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan.

Tetapi kekeliruan berlaku apabila responden ditanya sama ada mereka menyokong undang-undang “tidak liberal” seperti Akta Hasutan.

Disini responden terbahagi, di mana 60% mahu Akta Hasutan dikekalkan demi menjaga keamanan dan kestabilan. Sebahagian besar orang Melayu (76%) mahu akta dikekalkan, menurut tinjauan.

Ideas berkata jawapan berbeza kepada soalan itu menunjukkan rakyat tidak mempunyai pemahaman yang konsisten mengenai liberalisme.

Dari segi liberalisme sosial, 65% percaya rakyat perlu diberi kebebasan menjalani kehidupan mereka. Sebahagian besar (84%) berkata mereka membantah sekatan ke atas kebebasan individu kecuali individu tersebut membahayakan orang lain secara fizikal.

Sementara itu, 64% berkata tiada orang berhak memaksakan cara hidup mereka ke atas pihak yang lain.

Tetapi Ideas berkata terdapat kekeliruan antara kebebasan dan liberalisme, apabila responden ditanya sama ada mereka percaya kerajaan perlu mengawal rakyat demi melindungi “budaya, nilai dan warisan” Malaysia.

Disini, 74% responden bersetuju, dengan jumlah tertinggi dalam kalangan Bumiputera.

Peratusan besar (86%) mereka yang bekerja di kerajaan juga merasakan kawalan kerajaan ke atas rakyat adalah baik.

“Jawapan berbeza yang kami terima dalam soalan mengenai kawalan kerajaan menonjolkan kefahaman yang tidak konsisten, menyerupai liberalisme politik,” kata Ideas.

Ia juga menonjolkan sikap responden Melayu Islam, 57% berkata mereka tidak patut diberi kebebasan memilih cara hidup.

Ditanya sama ada orang berhak memaksa cara hidup mereka ke atas pihak yang lain, responden terbahagi, di mana separuh daripada mereka bersetuju.

Ideas berkata hasil tinjauan menunjukkan lagi tinggi paras pendapatan responden, semakin besar kemungkinan mereka mendengar mengenai liberalisme, di mana 76% daripada mereka dalam braket pendapatan 20% pernah dengar mengenainya.

Bagaimanapun, akses kepada internet menjadi faktor utama kerana 66% daripada mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet tidak pernah mendengarnya.

“Oleh itu, ada kemungkinan mereka dalam braket pendapatan lebih rendah dan tidak mempunyai akses internet tidak akan mendengar mengenai liberalisme dan oleh itu mempunyai pemahaman yang sangat sedikit mengenainya,” kata Ideas.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.