
Rosmah berkata beliau terlibat dalam Permata demi kebajikan dan pembangunan pendidikan kanak-kanak.
“Saya boleh katakan, kami sudah melakukan banyak usaha untuk menjayakan Permata, saya melakukan semua ini ikhlas dari hati,” katanya dipetik Bernama ketika berucap di sebuah majlis sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, malam tadi.
Baru-baru ini, Datuk Rizal Mansor yang kerap bercakap mewakili Rosmah bertikam lidah dengan Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin, yang mempersoalkan mengapa Rosmah dilantik sebagai penaung Permata seolah-olah tidak ada penjawat awam lain layak memimpin program didikan awal yang menggunakan dana awam itu.
Rizal mempertahankan kelayakan Rosmah dengan berkata beliau mempunyai lulusan Sarjana Muda Pengajian Sosiologi dan Antropologi dan juga pemegang Sarjana Bidang Sosiologi.
Yeo yang sebelum ini mendesak Permata mendedahkan bagaimana dananya dibelanjakan, mempersoalkan penglibatan Rosmah, dan berkata ia semata-mata kerana beliau isteri kepada perdana menteri.
Katanya, negara yang mempunyai sistem pendidikan awal kanak-kanak bertaraf dunia seperti Finland, Sweden dan Singapura juga tidak ada penaung bagi program pembangunan pendidikan itu.