Jack Ma mahu rakyat Malaysia urus DFTZ

Jack Ma mahu rakyat Malaysia urus DFTZ

Alibaba mengupah dan melatih rakyat Malaysia di China dan menghantar mereka kembali untuk urus DFTZ

jack-ma-malaysia
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Eksekutif/Pengasas Kumpulan Alibaba Jack Ma, mahu Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang baru dilancar menjadi sebuah perniagaan milik Malaysia yang diuruskan sendiri oleh rakyat negara ini, bukannya oleh kumpulan itu.

Katanya, e-hab itu perlu menumpukan kepada usaha pemerkasaan dan mencari rakan kongsi.

“Kami mahu ia menjadi perniagaan Malaysia dan bukannya milik Alibaba dan ia perlu dikendalikan oleh rakyat Malaysia.

“Inilah yang kami buat di India dan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar semasa Forum Transformasi Global 2017 semalam.

Katanya, inilah sebab mengapa gergasi e-dagang China, Alibaba, mengupah dan melatih rakyat Malaysia di China, kemudiannya menghantar mereka kembali ke tanah air bagi memastikan urusan perniagaan di Malaysia dikendalikan oleh rakyat negara ini.

DFTZ dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bersama-sama dengan Jack semalam.

Bercakap mengenai peranan beliau sebagai penasihat kepada ekonomi digital kerajaan Malaysia, Jack berkata, beliau akan berkongsi pengetahuan digital kumpulannya semasa lawatan Najib nanti.

Perdana Menteri dijangka melawat ibu pejabat Alibaba di Hangzhou, China, sebelum menghadiri sidang kemuncak “Belt and Road” pada 14 Mei nanti.

“Saya fikir, saya juga akan lebih kerap membuat lawatan ke sini,” katanya.

Sementara itu, semasa sesi “Transformasi AliBaba Cara Jack Ma” semalam, beliau menyatakan keyakinan perniagaan dalam talian akan merangkumi sekurang-kurangnya 90% daripada keseluruhan urus niaga dalam tempoh 20 hingga 30 tahun.

Katanya, globalisasi membolehkan usahawan berubah menjadi “usahawan dalam talian” dan memenuhi keperluan orang ramai.

“Mereka yang tidak menggunakan internet hanya akan dapat memenuhi keperluan masyarakat setempat yang kecil, berbanding bahagian lain di dunia,” katanya.

Beliau juga menggesa syarikat mengupah lebih ramai wanita kerana mereka bersifat lebih prihatin dan bertimbang rasa, sambil menambah lebih 47% daripada kakitangan kumpulan itu adalah wanita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.