Annuar buat pertandingan esei macam budak-budak, kata Nurul Izzah

Annuar buat pertandingan esei macam budak-budak, kata Nurul Izzah

Ahli Parlimen Lembah Pantai menyelar tindakan menganjurkan pertandingan remeh, bukannya memupuk hubungan antara budaya dan menghentikan politik kaum dan kebencian.

nurul-izzah_annuar-musa_600
KUALA LUMPUR:
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyelar Tan Sri Annuar Musa berhubung cadangannya mengadakan pertandingan esei mengenai Lim Kit Siang, dengan melabelnya sebagai kebudak-budakan dan tidak perlu.

“Perbuatan tidak wajar ini dilakukan oleh ahli Parlimen senior dan bekas menteri.

“Tidak patut dilayan kerana kita sepatutnya menganjurkan hubungan antara budaya dan menghentikan politik kebencian dan perkauman,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas forum di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur-Selangor di sini, malam tadi.

Semalam, Annuar mengeruhkan lagi perbalahan umum dengan Lim dengan menawarkan hadiah RM10,000 dalam pertandingan menulis esei untuk membuktikan ketua Parlimen DAP itu rasis, anti Islam dan diktator.

Ketua penerangan Umno itu berkata artikel itu haruslah mempunyai kaitan dengan penasihat DAP itu dan diberi tajuk “Adakah benar Lim Kit Siang seorang rasis, anti Islam dan 51 tahun diktator?”.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga menggesa individu yang membuka akaun Instagram, penulisan blog atau artikel berkaitan Kit Siang, supaya menghantarkan bahan berkenaan di pejabatnya di PWTC sebelum 30 Mei ini.

“Ini peluang anda untuk menang wang, ia bukannya main-main,” katanya.

Nurul yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata pertandingan itu hanya provokasi daripada Umno.

“Saya melihatnya hanya sebagai tindakan provokasi daripada pihaknya. Beliau patut malu dengan dirinya kerana sebagai ahli Parlimen senior dan bekas menteri, begini contoh yang ditunjukkan beliau kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Nurul berkata beliau kecewa dengan perkara itu, kerana ada masalah lebih besar yang sepatutnya ditangani dalam negara pada masa ini.

“Ini termasuk situasi ekonomi yang teruk dan kebergantungan tinggi negara kepada petroleum.

“Pada masa ini, ada keperluan untuk kita menyediakan landskap yang lebih optimistik dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

“Sebaliknya, pendirian Annuar tidak seperti itu,” katanya.

Annuar mengadakan pertandingan itu, beberapa hari selepas Lim melabelnya sebagai “bapa segala rasis” dan mencabar ahli politik Kelantan itu menyamannya.

Minggu lalu, dilaporkan Annuar melabel Lim sebagai “rasis, anti Islam dan diktator” selepas merasmikan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno cawangan Bagai Serai.

Sebelum ini, Annuar pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat mengeluarkan kenyataan Lim sebagai rasis, anti Islam dan diktator politik berdasarkan tindak-tanduknya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu bagaimanapun mencabar Annuar untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan sekali lagi di luar Dewan Rakyat dan terus disambut Annuar yang berulang kali mengatakan Lim rasis, anti Islam dan diktator.

RM10,000 hadiah pertandingan tulis artikel fasal Kit Siang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.