
Selagi rogol dalam perkahwinan tidak diiktiraf sebagai jenayah, ramai isteri akan berdiam diri selepas diperkosa suami mereka.
“Ramai wanita menghadapi kes rogol dalam perkahwinan tidak melaporkannya kerana kita sebagai masyarakat tidak melihatnya sebagai rogol dan undang-undang tidak mengiktirafnya sebagai satu jenayah,” kata Pengarah Eksekutif WAO Sumitra Visvanathan.
Bercakap pada sidang media di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini, beliau mengambil maklum perbuatan suami mencederakan isteri dengan maksud mahu mengadakan hubungan seks menjadi kesalahan di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan.
“Peruntukan undang-undang itu tidak mencukupi kerana ia tidak menetapkan istilah persetujuan bersama secara jelas,” kata Sumitra, menggesa Kanun Keseksaan dipinda untuk memasukkan jenayah rogol dalam perkahwinan.
Beliau kecewa isu ini tidak ditangani dalam sidang Parlimen.
“Tiada usaha dilakukan untuk menjadikan rogol dalam perkahwinan sebagai jenayah. Saya sedar ada ahli Parlimen mengatakan tidak mudah untuk mengistilahkan rogol dalam perkahwinan dari segi undang-undang.
“Ini mengecewakan kerana kita mempunyai masalah selagi isu persetujuan bersama tidak diketengahkan,” katanya.
Awal bulan ini, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-undang Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2004 berkata, istilah “rogol dalam perkahwinan” sukar diletakkan dalam konteks undang-undang kerana ia sukar dibuktikan.
Atas sebab itu penggubal undang-undang mengambil pendekatan menjadikan perbuatan suami mencederakan isteri dengan maksud mahu mengadakan hubungan seks sebagai kesalahan, di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan.