
Had umur itu perlu ditetapkan tanpa pengecualian dengan meminda Akta Kanak-kanak, Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) dan Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri di Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, Unicef memuji kesungguhan kerajaan Malaysia untuk menjadikan perbuatan penderaan seksual kanak-kanak sebagai satu kesalahan jenayah dan mengalu-alukan cadangan rang undang-undang (RUU) Kesalahan Seksual Kanak-kanak.
Mengulas mengenai desakan memasukkan perkahwinan kanak-kanak sebagai kesalahan seksual, Unicef berkata mengintegrasikan perkahwinan kanak-kanak dalam cadangan RUU itu akan menggunakan pendekatan hukuman yang tegas.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata DAP menyokong penuh penggubahan RUU khusus bagi menangani kesalahan jenayah seksual, namun mahukan kepastian ia akan meliputi perkahwinan bawah umur.
Menurutnya, kes perkahwinan bawah umur masih terus berlaku walaupun hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun boleh dikenakan tuduhan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Pada 2010, PBB melaporkan lebih 82,000 wanita yang berkahwin di Malaysia berumur antara 15 hingga 19 tahun. Pada tahun yang sama timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata terdapat 15,000 kanak-kanak bawah 15 tahun berkahwin di negara ini,” katanya.
Unicef berkata menangani isu perkahwinan kanak-kanak memerlukan perspektif luas dan komprehensif serta pengiktirafan daripada pelbagai faktor sosial, budaya dan ekonomi yang menyumbang kepada pengekalan amalan itu.
“Lebih pun, dalam usaha mengakhiri perkahwinan kanak-kanak, perlu ada usaha pencegahan untuk mengubah norma sosial menerusi pendidikan dan kempen kesedaran, campur tangan awal dalam kumpulan berisiko dan sokongan kepada kanak-kanak yang tertakluk untuk dikahwinkan,” katanya.
Unicef berkata di peringkat antarabangsa, banyak bukti menunjukkan antara punca perkahwinan kanak-kanak ialah kerana amalan budaya, norma sosial, kemiskinan dan ketidaksamaan gender.
Di Malaysia, dalam satu kaji selidik dijalankan Unicef menerusi aplikasi Line pada Ogos 2016, menunjukkan 86% responden percaya umur minum untuk berkahwin sepatutnya 18 tahun.
Hasil kaji selidik online itu mencadangkan kebanyakan rakyat Malaysia, terutama golongan muda bersetuju perkahwinan bawah umur tidak patut dibenarkan.
Perkahwinan kanak-kanak merosakkan dan memberi kesan jangka panjang terhadap kanak-kanak yang berdepan kekurangan sepanjang hidup. Amalan itu ialah salah satu bentuk keganasan paling teruk terhadap hak kanak-kanak dalam masyarakat.
Sama ada ia berlaku terhadap kanak-kanak lelaki atau perempuan, perkahwinan kanak-kanak bukan saja merampas mereka daripada zaman kanak-kanak, tetapi menjejaskan hak mereka terhadap kesihatan, pendidikan, hiburan dan bermain.
Biasanya, kanak-kanak yang berkahwin pada usia muda akan hamil pada tahun pertama perkahwinan. Mereka yang di bawah usia 18 tahun biasanya belum bersedia fizikal dan mental untuk mempunyai anak, dan menjaga keluarga.