Remaja OKU ‘salah jalan’ akan didakwa esok

Remaja OKU ‘salah jalan’ akan didakwa esok

Ng Pei Ven, 19, akan didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Nik-Ros-Ng-Pei-Ven2
GEORGE TOWN:
Remaja yang memandu menentang arus di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang menyebabkan kemalangan 9 kenderaan dan membunuh seorang lelaki akan didakwa memandu di bawah pengaruh dadah di mahkamah esok, kata polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata Ng Pei Ven, 19, akan didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Nik Ros berkata keputusan itu dicapai selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan untuk menyerahkan pertuduhan itu hari ini, selepas mempertimbangkan kertas siasatan.

Ini pertuduhan kedua difailkan terhadap Ng di mahkamah.

Jumaat lalu dia didakwa atas kesalahan menyalahgunakan dadah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.

Minggu lalu, Ng yang memandu Proton Gen-2 memecut di laluan melawan arah trafik sebelum Plaza Tol Sungai Dua dan melanggar 9 kenderaan, serta menyebabkan seorang maut.

Mohamad Fandi Rosli, 26, dari Sungai Petani, Kedah, meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Ng melanggar kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa dari arah depan.

Ng memberitahu polis dia membuat pusingan U secara mendadak selepas melihat sebuah lori berhenti di lorong tengah sebelum plaza tol.

Bagaimanapun, polis berkata tiada lori seperti dinyatakan berdasarkan rakaman video daripada PLUS.

Ng kemudian didapati positif amfetamina dan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana pengambilan bahan terlarang di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Ng mengaku tidak bersalah dan kini dibebaskan dengan ikat jamin.

Gen-2 dipandu lawan arus di lebuh raya PLUS, 1 maut

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.