Biar isu tenaga nuklear bebas politik, kata pakar

Biar isu tenaga nuklear bebas politik, kata pakar

Beliau berharap perdebatan mengenai penggunaan tenaga nuklear tidak diwarnai politik.

Dr-Mohd-Zamzam-Jaafar

MATSUYAMA (Jepun): Seorang pakar nuklear tempatan menjangkakan dasar pembangunan tenaga nuklear di Malaysia akan hangat diperdebatkan, tetapi berharap ia tidak dipolitikkan semua pihak seperti mana di negara lain.

“Perkara ini berkaitan masa depan Malaysia, maka tidak boleh dipolitikkan,” kata Ketua Pengarah Eksekutif Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) Dr Mohd Zamzam Jaafar, yang mengikuti rombongan kumpul maklumat dari Malaysia ke Jepun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri awal bulan lalu berkata kerajaan mempunyai maklumat yang cukup untuk membuat keputusan berhubung perkara itu, mengundang reaksi negatif sesetengah pihak.

Ia susulan laporan Penilaian Bersepadu Infrastruktur Nuklear (INIR) Fasa 1 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pakatan Harapan dalam kenyataan bersama 9 Mac lalu berkata pembangunan nuklear adalah langkah terkebelakang dan menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi hijau.

Mereka juga mengingatkan kerajaan akan rekod buruk dalam mengendalikan projek mega, antaranya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu yang runtuh pada 2013.

Zamzam memberi contoh beberapa negara seperti United Kingdom, di mana 2 parti politik iaitu Parti Buruh dan Parti Konservatif bersetuju dalam perkara itu.

“Pada 2006 UK mengumumkan pelan tenaga nuklear generasi baharu, dan ia diperkukuhkan pada 2016. Sepanjang tempoh itu, kerajaan pernah dikuasai kedua-dua parti.

“Kita harap di Malaysia pun begitu,” katanya lagi.

Beliau berharap rakyat bijak menilai perkara itu, dan tidak terpengaruh dengan garis politik dalam menentukan sikap mereka.

Berhubung tenaga boleh diperbaharui seperti angin dan solar, beliau berkata keadaan di Malaysia menyukarkan ia dilaksanakan.

“Malaysia terletak di equator, bermakna anginnya bermusim. Solar juga tidak memadai, tiada negara menggunakan tenaga solar lebih 5% daripada sumber tenaga keseluruhan mereka,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.