Sifat perkauman merebak pada 2016, kata kumpulan hak asasi manusia

Sifat perkauman merebak pada 2016, kata kumpulan hak asasi manusia

Kempen pilihan raya Sarawak dan PPBM tersenarai dalam laporan yang disusun Pusat Komas, kerana mengamalkan diskriminasi kaum.

racism
PETALING JAYA:
Walaupun Putrajaya berusaha untuk menggalakkan keharmonian kaum tetapi diskriminasi di Malaysia masih lagi berleluasa tahun lepas, menurut satu laporan.

Laporan Diskriminasi Kaum Malaysia 2016 yang disusun oleh Pusat Komas mendedahkan contoh keadaan diskriminasi kaum paling tinggi ialah ketika pilihan raya Sarawak tahun lepas.

“Pada 2016, diskriminasi kaum adalah perkara buruk yang paling menonjol semasa pilihan raya.

“Sebagai contoh, semasa pilihan raya Sarawak, politik perkauman digunakan untuk memancing undi.

“Pemimpin politik yang sering mendakwa mereka penentang politik perkauman juga menggunakan isu perkauman sebagai muslihat untuk menentang musuh politik,” kata Penyelaras Program Pusat Komas Ryan Chua.

“Satu lagi contoh politik perkauman ialah seperti yang diamalkan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian,” kata laporan itu.

“Dr Sim menggesa orang Cina menyokong calon mereka supaya akan ada seorang wakil Cina dalam pentadbiran negeri.

“Beliau menegaskan kerajaan Barisan Nasional yang hanya terdiri daripada golongan Bumiputera adalah tidak sihat dan berbahaya.

“Oleh itu, amat penting untuk menyokong calon SUPP dalam pilihan raya.”

Menurut laporan itu, parti pembangkang juga memainkan isu perkauman semasa pilihan raya Sarawak, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang berkata parti Islam berhasrat jawatan ketua menteri Sarawak akan sentiasa dipegang oleh Bumiputera Islam.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga muncul dalam laporan itu kerana mempunyai polisi keahlian yang berunsurkan diskriminasi kaum.

“Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bukan Bumiputera yang menyertai parti itu hanya akan dibenarkan sebagai ahli peringkat kedua dan dipanggil sebagai ‘ahli bersekutu’.

“Mereka mempunyai hak yang sama tetapi tidak boleh mengundi atau bertanding untuk jawatan dalam parti.”

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, Presiden Bersama Cenbet Gan Ping Sieu, jurucakap Kumpulan G25 Datuk Noor Farida Ariffin dan Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph hadir pada pelancaran laporan itu di Gerakbudaya, di sini semalam.

Laporan itu dilancarkan sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum 2017.

Noor Farida berkata perkauman kelihatan lebih sistemik di negara ini dengan institusi kerajaan tertentu “secara berselindung” menyokongnya.

“Sebagai contoh, Biro Tata Negara (BTN) sepatutnya menggalakkan perpaduan negara, tetapi ia sebaliknya. Ia digunakan untuk mempromosi ketuanan Melayu.”

Noor Farida berkata langkah pertama ke arah keharmonian kaum adalah melalui pendidikan dan pengasingan sekolah kebangsaan mengikut jenis vernakular tidak membantu.

“Saya setuju semua sekolah hanya ada satu sistem. Saya tidak fikir kita perlu menggalakkan kewujudan sekolah vernakular.

“Jika kanak-kanak itu rakyat Malaysia, mereka perlu belajar dan bermain bersama-sama.”

Katanya, perlu ada usaha untuk melindungi keharmonian kaum di negara ini.

“Dalam negara berbilang kaum, kita tidak boleh mempunyai situasi di mana satu kaum mengenakan nilai moral terhadap kaum lain.

“Perlu ada toleransi kaum dan rasa hormat di kalangan rakyat. Kita perlu berusaha untuk menggalakkan toleransi di antara kaum di negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.