
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan denda itu selepas mahkamah mendapati hukuman yang setimpal terhadap koordinator program Pusat Komas itu.
“Selepas membaca penghujahan daripada pihak pembela dan pendakwaan, mahkamah memutuskan untuk mengenakan hukuman denda RM10,000 terhadap tertuduh,” katanya.
Lena berdepan hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda itu.
Mahkamah juga memerintahkan denda dibayar hari ini.
Bulan lalu, mahkamah mendapati Lena bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 6(1)(b) Akta Penapisan Filem kerana menyiarkan “No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka”, satu dokumentari mengenai perang saudara Sri Langka yang berlangsung selama 26 tahun.
Lena didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini pada 3 Julai 2013.
Mahkamah sebelum ini membenarkan penangguhan hukuman penjaranya sehingga rayuannya selesai, bagaimanapun Lena memutuskan untuk membayar denda.
Pada Mac tahun lalu, beliau dibebaskan di mahkamah majistret yang sama, pada penghujung kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membatalkan pembebasan itu dan memerintahkan Lena membela diri.
Lena diwakili peguam New Sin Yew dan Joshua Tay sementara Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz mengendalikan pendakwaan.