Nuklear: Sokongan rakyat faktor utama

Nuklear: Sokongan rakyat faktor utama

Pusat Jana Kuasa Ikata aktif dalam kehidupan penduduk tempatan, termasuk menaja perayaan dan pertandingan sukan

nuclear-1
MATSUYAMA (JEPUN): Antara faktor utama menjayakan program tenaga nuklear adalah sokongan rakyat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) Dr Mohd Zamzam Jaafar.

Beliau mengambil contoh Jepun yang masih bergelut untuk membuka semula semua 42 pusat jana kuasa nuklearnya selepas tragedi Fukushima 2011, antaranya kerana “lebih separuh” rakyatnya menentang cadangan itu.

“Selepas 6 tahun masih banyak yang tidak memulakan semula operasi. Sepanjang tempoh itu masa digunakan untuk berhubung (engage) dengan orang awam.

“Itu untuk negara yang lebih 40 tahun menggunakan nuklear. Cabaran Malaysia tentulah lebih besar dan itu yang kita ingin pelajari,” katanya kepada pemberita di sini, hari ni.

Setakat ini, hanya 3 pusat jana kuasa yang beroperasi semula. Namun sejumlah lain dalam proses itu selepas melepasi piawaian baru oleh Pihak Berkuasa Kawalan Nuklear (NRA) Jepun pasca-Fukushima.

Beliau berkata, tinjauan MNPC sekitar 2014-2015 mendapati ramai yang tidak senang dengan cadangan memperkenalkan tenaga nuklear di Malaysia, namun ingin mengetahui perkara itu dengan lebih lanjut.

“Maknanya mereka terbuka, dan kita cuba yakinkan golongan di tengah-tengah ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Zaini Ujang menegaskan kerajaan belum memutuskan soal program nuklear dan masih dalam proses mengumpul maklumat.

nuclear-2
Pusat Janakuasa Ikata

Delegasi Malaysia hari ini melawat Pusat Jana Kuasa Ikata di wilayah Ehime, pulau Shikoku, salah satu reaktor yang sudah beroperasi sepenuhnya.

Pengurus Besar Noriaki Okada berkata mereka sentiasa berhubung dengan masyarakat setempat, termasuk menaja acara sukan dan terlibat dengan perayaan tempatan.

“Persetujuan masyarakat tempatan sangat penting,” katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan jana kuasa juga mengadakan sesi bersama media seminggu sekali bagi membolehkan wartawan tempatan bertanya soalan.

Pusat Jana Kuasa Ikata mula beroperasi pada 1977 dan menjadi sebahagian daripada ekonomi tempatan apabila 40% daripada 1,700 kakitangannya penduduk tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.