Ku Nan cabar: Ulang tuduhan ‘menteri untuk pemaju’ luar Dewan

Ku Nan cabar: Ulang tuduhan ‘menteri untuk pemaju’ luar Dewan

Ahli Parlimen Seputeh berang apabila Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengeluarkan kenyataan pihak yang mengkhianati pembangunan Kuala Lumpur sangat tidak dihargai.

ku-nan-teresa-kok-KL
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mencabar Ahli Parlimen Teresa Kok mengulangi tuduhan dilemparkan ketika di dalam Dewan Rakyat, iaitu beliau menteri yang berkhidmat untuk pemaju, bukannya rakyat.

“Yang Berhormat (Teresa) cuba cakap di luar (Dewan Rakyat), saya adalah (menteri) untuk pemaju. Saya akan saman anda,” katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Teresa berang dengan menteri Wilayah Persekutuan itu yang mengeluarkan kenyataan tanpa menyebut nama pihak yang mengkhianati pembangunan Kuala Lumpur.

“Apa makna dan macam mana mengkhianati rakyat Kuala Lumpur. Macam mana dengan perancangan untuk rakyat dan pemaju di Kuala Lumpur?,” soal Teresa ketika ucapan penggulungan Tengku Adnan.

Perbalahan di antara Tengku Adnan dan Teresa bermula sejak ahli Parlimen Putrajaya itu memutuskan untuk mengekalkan keputusannya enggan mewartakan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur (DPBRKL) 2020.

“Saya menolak untuk mewartakan Draf Pelan DBKL, apa yang kita lakukan adalah untuk pembaikan bukannya kepincangan yang menyebabkan permasalahan pada masa akan datang,” kata Tengku Adnan.

Teresa pula berulang kali mempersoalkan tindakan DBKL yang mengambil alih kawasan yang digunakan untuk rakyat untuk digunakan bagi pembangunan berkepadatan tinggi.

“Banyak kawasan tanah kerajaan di Kuala Lumpur dijual kepada pemaju dan ada syarikat yang paling banyak dapat, apa sebabnya. Kenapa syarikat itu diberikan banyak keistimewaan.

“Menteri (Tengku Adnan) duduk di kawasan orang kaya, tidak tahu kesukaran dan kepayahan hidup,” katanya, menambah Kuala Lumpur kini menjadi kawasan tidak terancang.

Tengku Adnan membidasnya dengan berkata mereka yang membantah projek pembinaan berkepadatan tinggi inilah yang akan membeli rumah dibina dibina pemaju.

“Saya tidak mahu bergaduh dengan Yang Berhormat (Teresa), saya akan mengambil kira setiap pandangan yang diperkatakan, saya akan perbaiki apa yang disebut.

“Niat saya senang, saya bangunkan kawasan ini untuk menyediakan rumah mampu milik, pemaju boleh bangunkan rumah dengan 900 kaki persegi di bawah RM200 ribu ringgit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.