
Catatan Twitter Saudi Airlines dan Royal Jordanian yang kemudiannya dipadamkan memaklumkan pelanggan mereka larangan membawa peranti elektronik yang lebih besar daripada sebuah telefon bimbit ke kabin.
Menurut Royal Jordanian, semua peranti itu – termasuk komputer riba, tablet, kamera, pemain DVD dan permainan elektronik – perlu diperiksa di bawah peraturan kerajaan baru AS, berkuat kuasa hari ini.
Hanya telefon bimbit dan peranti perubatan yang diperlukan dalam penerbangan akan dikecualikan. Tweet itu kemudiannya dipadamkan dengan alasan syarikat penerbangan itu mengeluarkan maklumat terlalu awal.
CNN memetik seorang pegawai AS sebagai berkata, larangan itu dipercayai ada kaitan dengan ancaman Al-Qaeda di Semenanjung Arab atau AQAP.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS menerusi satu kenyataan berkata: “Kami tidak mempunyai sebarang komen berhubung potensi langkah berjaga-jaga keselamatan, tetapi akan memberikan maklumat terkini pada masa sesuai.”
Financial Times yang memetik pegawai AS berkata, peraturan baru itu akan membabitkan 8 negara Timur Tengah termasuk Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
The Guardian bagaimanapun melaporkan perintah itu yang diedarkan menerusi e-mel sulit daripada Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan AS, bakal menjejaskan 13 negara.
Langkah itu menandakan cubaan terbaru kerajaan pimpinan Presiden Donald Trump memperketatkan keselamatan di sempadan AS, selepas cubaannya melarang rakyat dari negara majoriti umat Islam ditolak mahkamah sebanyak 2 kali.