
Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Projek LFS, Mohamad Shah Abdul Aziz yang dipetik Sin Chew Daily berkata, pawagam yang terletak di PB Central itu bagaimanapun tidak melaksanakan pengasingan penonton lelaki dan wanita serta pemasangan lampu ketika tayangan filem.

“Kami faham pihak berkuasa tempatan bimbang ada orang berkelakuan tidak senonoh dalam keadaan gelap, jadi kami ambil langkah pasang CCTV untuk membendung perbuatan itu.
“CCTV kami boleh merakamkan keadaan gelap di dalam dewan panggung dengan jelas. Jadi, jika ada orang berkelakuan tidak senonoh, tindakan mereka akan dirakamkan dan kami percaya langkah ini dapat menghapuskan kebimbangan kerajaan dan individu tertentu,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu.
Beliau berkata, sejajar syarat ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), tayangan filem terakhir perlu tamat sebelum jam 1 pagi setiap hari, kecuali pada Khamis di mana pawagam akan ditutup jam 6 petang dan hanya beroperasi semula jam 3 petang Jumaat.

Katanya, MBKT turut mewajibkan pawagam perlu menghentikan operasi mulai 6 petang hingga 9 malam sepanjang Ramadan, manakala sehari menjelang perayaan penting agama Islam, seperti Aidilfitri, Hari Raya Haji dan Maulidur Rasul, mereka hanya beroperasi sehingga 6 petang dan operasi keesokannya bermula jam 2 petang.
Bagi memenuhi keperluan umat Islam, Shah berkata, LFS pertama kali menyediakan bilik sembahyang dalam pawagam mereka, selain bilik penyusuan dan penukaran lampin bayi.
Enam daripada 11 dewan panggung LFS itu dibuka secara rasminya Sabtu lalu dengan sebuah dewan panggung besar yang boleh memuatkan 250 penonton, 4 dewan panggung kecil dilengkapi 110 kerusi dan sebuah dewan tayangan perdana untuk 88 penonton.
Shah berkata, 5 lagi dewan panggung masih dalam pembinaan dan dijangka siap bulan depan.