
Kementerian itu berkata, pihak pengurusan SRC International memaklumkan Deloitte sudah menyatakan hasrat meletak jawatan, tetapi akan meneruskan perkhidmatannya sehingga juruaudit baru dilantik.
“Sehingga kini, SRC masih dalam proses mendapatkan juruaudit baru dan sehingga juruaudit baru dilantik, Deloitte kekal sebagai juruaudit SRC.
“Dalam masa sama, SRC sentiasa komited untuk mendapatkan juruaudit baru bagi menggantikan Deloitte,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pua ingin tahu jika Deloitte masih juruaudit SRC dan bilakah penyata kewangan syarikat itu bagi 2015 dan 2016 akan dikeluarkan.
Tiada jawapan diberikan untuk soalan ke-2 beliau.
SRC International ditubuhkan pada awal 2011 untuk meneroka pelaburan strategik di seberang laut dalam bidang tenaga.
Ia adalah anak syarikat 1MDB milik kerajaan sehingga diambil alih Kementerian Kewangan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ekoran program penstrukturan semula 1MDB.
November lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengakui SRC berdepan kesulitan dari segi kewangan ekoran masalah mendapatkan kembali wang yang disimpan di BSI Bank Ltd (BSI Bank).
Ini susulan sebuah cawangan bank Swiss di Singapura itu ditutup kerana melanggar peraturan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.
SRC International akan dapatkan balik wang daripada BSI Bank, kata menteri