
Pada masa yang sama, ketua polis negara menyeru supaya Ibrahim menghentikan aktiviti ritualnya kerana tindakannya itu boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai terutama perkara yang membabitkan perbuatan syirik.
“Sebahagian masyarakat kita suka terlebih-lebih (dalam perbuatan). Ada ke patut menembak menggunakan buluh meriam. Ini perbuatan syirik. Syirik tidak ada dalam adat budaya kita.
“Cukuplah, jangan lakukan perkara yang mengarut. Perbuatan dia jelas memalukan orang Melayu. Saya minta dia hentikan dan jadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan ‘Raja Bomoh’.
“Jawi dan PDRM sedang berusaha menjejaki Bomoh (Ibrahim) sejak Isnin lagi untuk menangkap dan mendakwa beliau yang merosakkan imej Islam,” katanya.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan upacara dilakukan Ibrahim yang dikatakan ‘memagar’ Malaysia daripada ancaman negara asing khususnya Korea Utara.
Ini kerana menurutnya, perbuatan menularkan ritual oleh lelaki berasal dari Teluk Intan, Perak, itu secara tidak langsung mempromosikan individu itu.