Pengusaha dakwa kerjasama Uber, gabungan teksi gagal

Pengusaha dakwa kerjasama Uber, gabungan teksi gagal

Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, Uber dan gabungan teksi itu membisu sehingga kini selepas sekumpulan pemandu teksi membantah kerjasama itu pada 7 Mac lalu.

Shamsubahrin-Ismail-1
PETALING JAYA:
Hasrat pemandu teksi dan Uber bekerjasama menggunakan satu aplikasi tidak akan berjaya, kata penasihat Teksi Big Blue.

Ini kerana, Datuk Shamsubahrin Ismail mendakwa Gabungan Persatuan dan Syarikat-syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) bersama Uber Malaysia tidak akan meneruskan rancangan menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Katanya, ia susulan kedua-dua pihak masih membisu selepas sekumpulan pemandu teksi mengadakan bantahan berhubung kerjasama itu minggu lalu.

“Kerjasama teksi dan Uber senyap dan saya rasa ia tidak akan diteruskan kerana tidak ada ketelusan.

“Kalau mereka telus membantu pemandu teksi, mereka sepatutnya meneruskan kerjasama itu dengan membuat pembentangan kepada pemandu kenapa usaha itu ingin dilakukan, bukannya membuat perbincangan secara senyap,” katanya kepada FMT.

Pada 7 Mac lalu, lebih 100 pemandu teksi mengadakan bantahan selama beberapa minit sebelum GPST menandatangani MoU dengan Uber Malaysia, menyebabkan penganjur terpaksa membatalkan majlis tersebut.

Kumpulan itu tidak mahu bekerjasama dengan “syarikat Yahudi” dan menuduh GPST menjual kepentingan pemandu teksi.

Mengulas lanjut, Shamsubahrin berkata, GPST dan Uber tidak sepatutnya takut dengan bantahan kumpulan pemandu teksi itu, jika mereka ikhlas membangunkan industri pengangkutan awam bersama.

“Mereka tidak perlu takut sebab ramai pemandu teksi berdisiplin dan ingin mencari makan betul-betul.

“Pemandu yang banyak memekak ini, pemandu yang banyak buat masalah kerana ingin mencari populariti,” katanya merujuk kumpulan pemandu teksi menentang kerjasama GPST dan Uber.

Katanya, beliau menyokong kerjasama teksi dan Uber yang memberi tekanan kepada pemandu teksi bermasalah.

Sementara itu, Setiausaha GPST, Valarie Chan ketika dihubungi berkata, kerjasama teksi dan Uber belum diputuskan secara muktamad.

“Perkara itu belum diputuskan lagi dan saya tidak tahu perkembangan seterusnya,” kata pemilik Syarikat Super Cab itu yang enggan mengulas lanjut.

Teksi dan Uber berdamai, kini kongsi aplikasi

Pengusaha persoal ketelusan kerjasama Uber dan gabungan teksi

Pemandu teksi tolak kerjasama Uber, dakwa milik Yahudi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.