Kes Sosilawati paling diingati Tun Arifin Zakaria

Kes Sosilawati paling diingati Tun Arifin Zakaria

Ketua hakim negara berkata perbicaraan kes bunuh itu yang kedua selepas kes bunuh Sunny Ang yang bergantung pada bukti keadaan.

arifinzakaria-sosilawati-judge1
KUALA LUMPUR: Menyifatkan perbicaraan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya sebagai kes paling diingatinya sebagai hakim, Tun Arifin Zakaria berkata Mahkamah Persekutuan bergantung sepenuhnya pada bukti keadaan untuk mensabitkan 3 lelaki termasuk seorang bekas peguam.

Ketua Hakim Negara itu berkata perbicaraan kes bunuh Sosilawati merupakan yang kedua, selepas kes bunuh Sunny Ang Soo Suan pada 1965, yang mahkamah bergantung pada bukti keadaan untuk mensabitkan tertuduh tanpa mayat mangsa dijumpai.

“Sudah tentu, kes terakhir yang kami ada ialah kes bunuh Sosilawati. Ia diingati atas beberapa sebab iaitu melibatkan banyak tertuduh dan bersejarah dari segi ia merupakan kes kedua selepas kes Sunny Ang iaitu kami bergantung sepenuhnya pada bukti keadaan. Polis tidak menjumpai mayat (Sosilawati), sama seperti dalam kes Sunny Ang.

“Jadi, ia bersejarah dari aspek itu dan kebetulan ia juga merupakan kes jenayah terakhir dikendalikan saya,” katanya semasa ditanya kes apa yang paling diingati, sebagai hakim.

Soalan itu diajukan kepada Arifin pada sidang media selepas pelancaran bukunya bertajuk ‘Justice Above All, Selected Judgments of Tun Arifin Zakaria With Commentaries’, oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam kes Sunny Ang, lelaki itu didapati bersalah membunuh teman wanitanya yang mayatnya tidak dijumpai.

Pada 16 Mac, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati diputuskan terhadap bekas peguam N Pathmanabhan, 47, dan 2 pekerja ladangnya, tetapi membebaskan seorang daripada perayu daripada pertuduhan membunuh Sosilawati dan 3 pembantunya kira-kira 7 tahun lepas.

Dua pekerja ladang itu ialah T Thilaiyalagan, 25, dan R Kathavarayan, 37.

Dalam penghakimannya, panel 5 hakim dipengerusikan Arifin berkata terdapat bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa Sosilawati dan 3 pembantunya dibunuh di ladang milik Pathmanabhan di Banting.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan 3 Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Panel sementara itu membebaskan seorang lagi perayu R Matan, 26, atas alasan kekurangan bukti untuk mengaitkan lelaki itu dengan pembunuhan tersebut.

Pada 23 Mei, 2013, 4 lelaki itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Sosilawati dan ketiga-tiga pembantunya itu dilaporkan hilang selepas pergi ke Banting bagi urusan tanah.

Kehilangan mereka telah menjadi topik utama di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.