
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, walaupun tiada data untuk mengesah atau menafikan perkara itu, tetapi adalah logik untuk menganggap kesesakan lalu lintas dan caj letak kenderaan yang secara langsung menjejaskan pekerja dan seterusnya akan menjejaskan perniagaan.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan pakar kerajaan tempatan dan undang-undang perancangan, Derek Fernandez, syarikat multinasional dan entiti perniagaan lain keluar dari pusat bandar kerana keadaan trafik “dahsyat” akibat pembangunan tanpa perancangan disebabkan pelan bandar tidak diwartakan.
“Sudah tentu kos parkir menjejaskan syarikat kerana dalam situasi caj parkir amat tinggi dan tiada pengangkutan awam alternatif, majikan mungkin tidak dapat mengekalkan pekerja dan itu boleh mendatangkan masalah.
“Juga jika trafik sangat sesak dan majikan mungkin berdepan masalah dari segi pekerja datang kerja tepat pada masanya,” katanya kepada FMT.
Fernandez ketika dihubungi FMT enggan mendedahkan syarikat yang berpindah keluar dari Kuala Lumpur akibat kesesakan lalu lintas kerana mereka tidak mahu dinamakan.
Beliau juga berkata, caj parkir tinggi yang turut diakui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai punca keadaan trafik adalah satu lagi faktor syarikat berpindah keluar dari pusat bandar.
Tahun lalu, bayaran parkir untuk tempat letak kenderaan milik DBKL di beberapa lokasi tumpuan perniagaan di ibu negara dinaikkan 150%.
Kawasan itu termasuk Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara dan Bangsar.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menghantar satu memorandum bersama tandatangan 800 penduduk dari Lembah Klang, meminta kerajaan meningkatkan kapasiti pengangkutan awam sebelum kenaikan caj parkir di pusat bandar.