
Katanya, separuh daripada galeri itu sudah dibuka semula.
“Kami mahu mengemas kini bahan pemasaran kami di galeri bagi menonjolkan pelbagai projek domestik kami dalam wilayah China,” kata Ketua Pegawai Strategi, Yu Runze yang dipetik The Star.
Beliau berkata demikian di Johor Bahru ketika Duta China ke Malaysia, Huang Huikang melawat projek itu.
Yu berkata, separuh daripada galeri jualan itu dibuka semula sejak Isnin lalu, namun tiada angka diberikan.
Ini susulan kenyataan syarikat itu minggu lalu yang dilaporkan media Cina dan dipetik Reuters yang ia menutup dan mengubah suai pusat jualan di China bagi “menyesuaikannya dengan dasar dan peraturan pertukaran asing semasa”.
Tambahnya, syarikat itu juga sedang mengkaji untuk mempelbagaikan strategi pembangunannya.
Dalam kenyataan berasingan yang dipetik Reuters, pemaju projek Forest City berkata, penutupan itu selaras peralihan terdahulu dalam usaha pemasaran dan “bukan reaksi spontan” terhadap dasar China.
“Kami sentiasa merancang menjual di luar China, oleh itu, kami memilih mengemukakan rancangan itu tahun ini.”
Bercakap kepada wartawan hari ini, Yu memberitahu The Star yang syarikat itu sentiasa menyelaras strategi pemasarannya untuk bertindak balas kepada perubahan dasar di Malaysia dan China.
“Warga China tidak dibenarkan menukar yuan kepada mata wang asing untuk melabur dalam hartanah di luar negara. Kami sentiasa memberi tumpuan kepada mereka yang mempunyai modal luar pesisir,” katanya.
Pada 10 Mac lalu, media melaporkan Country Gardens menutup semua pusat jualannya di China ketika Beijing mengenakan sekatan ketat terhadap pengeluaran modal dan pelaburan China.
Syarikat itu giat mempromosikan Forest City kepada penduduk China.
Tetapi, laporan South China Morning Post memetik Raymond Cheng, penganalisis hartanah di CIMB Securities yang berpangkalan di Hong Kong berkata, projek Forest City semakin kurang mendapat perhatian.
Cheng turut memberi amaran rakyat tidak tertarik kepada projek itu dan sekatan ketat China terhadap pengeluaran modal akan memperlahankan jualan di China.
Forest City ialah projek bandar pintar futuristik yang akan dibina di atas 4 pulau buatan manusia seluas 1,385.6 hektar di Johor. Projek bernilai RM100 bilion itu dijangka siap dalam tempoh 20 tahun dan dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk rumah, pejabat dan pusat beli-belah.
Projek hartanah dijangka terbengkalai jika China hentikan modal