NGO: Henti kahwinkan mangsa dan perogol demi tutup malu

NGO: Henti kahwinkan mangsa dan perogol demi tutup malu

Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) berkata, jika mangsa boleh mendapat bantuan kewangan daripada perogol, hujah mendapatkan keselamatan melalui perkahwinan menjadi tidak relevan.

kahwin-paksa
PETALING JAYA: Mengahwinkan gadis bawah umur yang hamil luar nikah dengan perogolnya adalah tindakan mengabaikan undang-undang mengenai jenayah rogol statutori, kata Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG).

Rogol statutori termaktub dalam Kanun Keseksaan yang ditakrifkan sebagai hubungan seks dengan gadis bawah umur 16 tahun kerana mereka tidak memahami sifat dan akibat mengizinkan perlakuan itu.

Sehubungan itu, JAG mengingatkan masyarakat tidak mengambil mudah kekejaman jenayah rogol statutori dengan membenarkan atau menggalakkan mangsa mengahwini perogolnya.

“Ini adalah penyalahgunaan serius terhadap undang-undang yang sepatutnya melindungi kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata demikian susulan kenyataan peguam syarie, Faiz Fadzil, baru-baru ini berhubung cara terbaik untuk gadis hamil akibat hubungan seks luar nikah adalah mengahwinkan mereka dengan orang yang menghamilkannya, jika kedua-dua pihak bersetuju.

JAG membantah kenyataan itu kerana memutarbelitkan istilah “izin”, mengabaikan undang-undang berkaitan rogol statutori dan menolak realiti ketidakseimbangan kuasa yang wujud dalam kes perkahwinan bawah umur.

Merujuk kenyataan Faiz “perkahwinan adalah satu bentuk taubat bagi umat Islam yang mengadakan hubungan seks luar nikah”, JAG berkata, ia adalah penghinaan kepada institusi perkahwinan seperti ditakrifkan Islam.

“Al-Quran menyatakan perkahwinan ialah penyatuan cinta dan saling menghormati, ia tidak sebut perkahwinan sebagai satu bentuk taubat untuk seks luar nikah atau rogol.”

JAG berkata, realiti ialah perkahwinan sedemikian ialah cara bagi perogol melarikan diri daripada jenayahnya.

“Dalam kebanyakan kes perkahwinan bawah umur, pihak di bawah umur kononnya bersetuju dan perkahwinan itu digunakan sebagai cara untuk perogol mengelak daripada didakwa.

“Malah, ibu bapa mangsa rogol juga menyumbang kepada pelanggaran undang-undang dengan memujuk gadis bawah umur berkahwin dengan perogol untuk ‘menutup malu’.”

JAG berkata, Malaysia sebagai salah satu pihak dalam Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), mempunyai tanggungjawab menegakkan Perkara 16 (2) CRC yang melarang perkahwinan kanak-kanak.

“Satu daripada caranya ialah menamatkan pemikiran di mana perkahwinan ialah jalan menyelesaikan jenayah rogol.”

JAG turut menepis tanggapan anak luar nikah lebih “selamat” jika ibu berkahwin dengan perogolnya.

“Ini meletakkan beban tanggungjawab kepada ibu semata-mata. Sudah sampai masanya Malaysia membangunkan sistem pendaftaran wajib dan boleh diakses untuk kelahiran semua kanak-kanak.

“Perkahwinan tidak patut dilihat sebagai satu-satunya penyelesaian untuk mangsa rogol dan anak luar nikah mendapatkan hak mereka.”

Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia meletakkan tanggungjawab untuk anak kepada ibu. Bapa tiada hak atau kewajipan ke atas kanak-kanak itu.

“Sudah sampai masanya undang-undang itu dikaji semula sejajar kemajuan saintifik dalam menentukan bapa kandung.

“Jika mangsa rogol boleh mendapat bantuan kewangan daripada perogol, hujah untuk mendapatkan keselamatan melalui perkahwinan menjadi tidak relevan,” kata JAG.

Mangsa, lelaki rogolnya berkahwin pilihan terbaik?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.