Lesen remaja pandu lawan arah trafik digantung, kata Liow

Lesen remaja pandu lawan arah trafik digantung, kata Liow

Liow Tiong Lai berkata, memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol adalah kesalahan trafik serius, oleh itu pihak berkuasa akan meningkatkan penguatkuasaan.

Ng-Pei-Ven
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa menggantung serta-merta lesen memandu remaja yang memecut melawan arah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan, Selasa lalu, sehingga menyebabkan seorang maut dan 5 cedera, kata menteri pengangkutan.

Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dipetik mysinchew.com hari ini berkata, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah adalah kesalahan trafik yang serius.

Katanya, kerajaan sudah mengambil langkah bagi mewujudkan keadaan memandu lebih selamat dan akan mendidik pengguna berhubung tanggungjawab mereka untuk memastikan keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) melalui mesyuarat minggu lalu memutuskan 22 langkah bagi memastikan keselamatan jalan raya dan akan meningkatkan penguatkuasaan.

Pagi tadi, Ng Pei Ven, 19, dari Butterworth didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan RM5,000 selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengambil dadah berbahaya, sebelum kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan.

Pada jam 7.50 pagi Selasa lalu, Ng yang memandu Proton Gen-2 melanggar 3 kenderaan sebelum membuat pusingan U beberapa meter dari Plaza Tol Sungai Dua dan memecut melawan arah trafik sejauh 5km di Km 134 Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Perai Tengah.

Ia kemudiannya merempuh Perodua Kelisa yang dipandu pekerja kilang, Mohamad Fandi Rosli, menyebabkan bakal bapa berusia 26 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Kereta dipandu remaja itu turut merempuh 5 kenderaan lain, termasuk sebuah van kilang dan motosikal.

Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan polis juga percaya remaja itu dalam keadaan mabuk. Bagaimanapun, polis kelmarin berkata “ia bukan methamphetamine, sebaliknya hanya amfetamina”.

Gen-2 dipandu lawan arus di lebuh raya PLUS, 1 maut

Remaja pandu Gen-2 lawan arus didakwa salah guna dadah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.