Tanpa sayap wanita, PPBM tiada peluang menang, kata Anina

Tanpa sayap wanita, PPBM tiada peluang menang, kata Anina

PPBM harus jadikan BN sebagai contoh kerana mereka dapat mengekalkan kuasa tadbir negara kerana kekuatan sayap wanita mereka

anina-ppbm
PETALING JAYA:
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak berpeluang memenangi pilihan raya umum akan datang sekiranya ia masih tidak membentuk sayap wanita, kata seorang pemimpin kanan parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Anina Saadudin berkata kekuatan sesebuah parti bergantung kepada sayap wanitanya untuk berdepan dengan musuh politik terutamanya Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Sekiranya sayap srikandi wanita PPBM tidak dibentuk dengan segera, usaha parti menempuh pilihan raya boleh lumpuh.

“Jadi saya gesa sayap srikandi segera dibentuk,” Katanya kepada FMT.

Anina berkata, PPBM harus jadikan BN sebagai contoh kerana mereka dapat mengekalkan kuasa tadbir negara kerana kekuatan sayap wanita mereka.

“Kekuatan sebenar BN, khususnya Umno bukan terletak pada pemuda atau puterinya, tapi pada sayap wanita itu mereka.

“Sayap wanitalah yang memenangkan Umno memerintah Malaysia,” katanya.

Anina mahu PPBM sedar kepentingan membentuk sayap wanita untuk memperkasakan parti mereka.

Sehubungan itu, Anina mendesak PPBM supaya segera membentuk sayap wanita sebagai keutamaan berbanding isu-isu lain.

“Berdasarkan ramalan awal, pilihan raya umum akan diadakan paling awal pada Mei 2017.

“Jika betul andaian itu, bagaimana kesediaan jentera PPBM? soal Anina.

Sebelum ini, Anina mendakwa beliau dipecat daripada jawatan ketua wanita PPBM kerana didakwa terbabit dalam “skandal seks” dengan bekas pembantunya, tetapi pucuk pimpinan parti itu menafikan dakwaan Anina dan mendakwa apa yang berlaku hanya kesilapan teknikal.

Sejak PPBM ditubuhkan pada September 2016, parti itu belum melengkapkan sayap jentera parti mereka, sebaliknya lebih memfokuskan kepada kerjasama dengan sekutu pakatan pembangkang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.