
Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, hasil penilaian juga mendapati ia bukan berpunca daripada masalah teknikal.
Sebuah pesawat Beechcraft B200T terhempas di Pangkalan Udara TUDM Butterworth, kira-kira jam 5.30 petang 21 Disember lalu.
“Hasil laporan Lembaga Siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa pembantu juruterbang pelatih melakukan penerbangan ‘asymmetric circuit’ (simulasi satu enjin tidak berfungsi).
“Ini latihan yang perlu dilalui semua juruterbang TUDM dalam Kursus Peralihan Pesawat. Kemalangan diklasifikasikan sebagai ‘training hazard’,” katanya menjawab soalan Baihaki Atiqullah (PAS–Kubang Kerian) berhubung hasil siasatan nahas itu, di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, TUDM menghantar seorang juruterbang penguji ke pusat simulator di Texas, Amerika Syarikat untuk membuat penilaian.
“Hasil penilaian tersebut didapati tiada sebarang masalah teknikal dan ini membolehkan pesawat Beechcraft B200T kembali beroperasi,” katanya.
Selepas nahas itu, Kementerian Pertahanan menggantung operasi 3 pesawat sama milik TUDM sehingga punca nahas dikenal pasti.
Nahas itu mengorbankan kapten pesawat, Mejar Kayamboo Chellam, 44, dengan 3 lagi anak kapal cedera, iaitu Kapten Wai Lik, 26, Lt Hamid Hanafi, 26, dan Sarjan Udara Mohd Sofi Azizan, 29.
Johari berkata, Hamid sudah mula bekerja, manakala Wai Lik dan Mohd Safi dalam keadaan stabil dan diberikan cuti sakit.