Najib: Lawatan Raja Salman bukti Malaysia bukan ‘negara gagal’

Najib: Lawatan Raja Salman bukti Malaysia bukan ‘negara gagal’

Perdana menteri berkata lawatan itu satu pengiktirafan, apatah lagi Malaysia menjadi negara pertama dalam siri lawatan Asia Raja Salman.

najib-king-salman
KUALA LUMPUR: Lawatan pemimpin tertinggi Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia menafikan negara berdepan pelbagai masalah dan menuju ke arah “negara gagal”, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata lawatan bersejarah itu merupakan pengiktirafan kepada Malaysia selaku negara pertama yang dikunjungi rombongan Arab Saudi dalam siri lawatan ke Asia bulan lalu.

“Jika ada pihak yang menidakkan kita, kononnya kita negara gagal dan ekonomi tidak stabil. (Sehingga) menyebabkan maklumat yang salah disampaikan kepada Arab Saudi, terutama soal Aramco.

“Ada yang kata kita tiada wang bayar gaji pegawai kerajaan, dan macam-macam (tuduhan lain). Lawatan ini melenyapkan segala tuduhan palsu yang dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN – Lenggong) yang memintanya menyatakan kesan dan kepentingan lawatan Raja Salman tempoh hari.

Memetik laporan Bernama 28 Februari lalu, sempena lawatan itu Petronas menandatangani perjanjian pembelian saham dengan Saudi Aramco bernilai RM31 bilion, membolehkan syarikat Arab Saudi itu menguasai 50% ekuiti dalam aset kraker dan penapisan dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Sebelum itu, terdapat laporan Aramco akan menarik diri daripada melabur di sana, antaranya kerana merasakan ia tidak akan menjana keuntungan yang memadai.

Lawatan itu juga menyaksikan kedua-dua negara memeterai 7 memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM9.75 bilion, selain meningkatkan jumlah pemberian biasiswa penuh kepada pelajar Malaysia dan kuota jemaah Haji negara, daripada 27,900 kepada 30,200.

Najib berkata Raja Salman turut menyokong penubuhan “Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman” bagi melawan ideologi ekstremisme di rantau Asia Tenggara.

“Jelas sekali keberangkatan Raja Salman ke negara ini menunjukkan Baginda berkeyakinan penuh terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara, sekali gus meletakkan hubungan dua hala pada kedudukan terbaik,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.