Akta 355: Sarawak buat cadangan rahsia pada PM

Akta 355: Sarawak buat cadangan rahsia pada PM

Datuk Abang Johari Openg berkata beliau tidak boleh mendedahkan apa cadangan itu dan akan menyerahkan pada perdana menteri untuk membuat pengumuman.

abang-johari-sarawak-ncr-land-1
KUCHING:
Barisan Nasional Sarawak, selepas mengadakan mesyuarat dengan semua parti di negeri itu membuat cadangan pada kerajaan persekutuan berhubung Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, atau dikenali sebagai Akta 355.

Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg berkata beliau bagaimanapun tidak boleh mendedahkan mengenai butirannya.

“Biar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak buat pengumuman,” katanya dipetik daripada The Borneo Post pada sidang media di negeri itu semalam.

Abang Johari berkata beliau bertemu dengan ahli Parlimen BN pada Isnin malam di Kuala Lumpur di mana mereka berbincang mengenai isu itu, di samping perkara lain.

“Sebenarnya mereka sudah bincang dengan parti lain dari Sarawak dan kami mencadangkan sesuatu yang saya tidak boleh dedahkan. Kami berbincang dan memberikan pandangan dan perdana menteri sedang melihat cadangan kami,” katanya.

Katanya, apa yang boleh diberitahu setakat ini ialah mereka “membawa kes Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan di mata undang-undang”, kepada perhatian perdana menteri.

Katanya, kerajaan persekutuan akan melihat lebih mendalam terhadap rang undang-undang itu mengikut kepada keperluan Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 8.

PAS mendesak pindaan terhadap Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih keras terhadap pesalah syariah.

Bagaimanapun, ramai melihat tindakan itu sebagai cara membolehkan hukuman hudud dilaksanakan di Kelantan, dan kemudiannya di seluruh negara.

Ia mencetuskan kontroversi, dengan parti BN bukan Islam dan BN di Sarawak membantahnya. Mereka mahu memastikan bukan Islam tidak terjejas dengan pelaksanaan hukuman itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.