
Rafizi berkata, projek yang diilhamkan pada era pentadbiran bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu melakukan upacara pecah tanah pada 2004 dan sepatutnya siap pada Mac 2009.
“Semakan saya menunjukkan setakat 1 Februari 2017, projek ini belum disiapkan seperti yang diakui Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman,” katanya dalam satu kenyataan bersama Pakatan Harapan yang diedarkan di pusat media Dewan Rakyat hari ini.
Pada 2 Februari lalu, Razif dilaporkan berkata, projek itu dalam fasa terakhir dan ia dijangka memulakan operasi pada Oktober ini.
Bagaimanapun, Rafizi mendakwa semakan yang dilakukan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Adun Batu Buruk, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi baru-baru ini mendapati projek itu bukan sahaja belum siap, malah terbengkalai dan banyak kelengkapan mengalami kerosakan.
Selain kerosakan dan kecurian di blok utama, katanya, bumbung dan kelengkapan di stadium, pendawaian serta kelengkapan janakuasa elektrik juga rosak sepenuhnya.
Rafizi berkata, lebih membimbangkan apabila Razif dilaporkan berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan Idris untuk memastikan pusat pendidikan tinggi itu dapat beroperasi.
“Kami ingin memberi amaran kepada Idris supaya tidak menggunakan apa-apa peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk disalurkan kepada projek yang gagal diusahakan beliau semasa menjadi menteri besar Terengganu pada kala peruntukan pendidikan tinggi dipotong mendadak.”
Taman Ilmu ialah sebuah daripada projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk menempatkan 6 institusi pengajian tinggi di kawasan seluas 280 hektar di Tembila, Besut.