
Jufazli berkata beliau mengadakan program tuisyen percuma dan kecewa apabila mendapati betapa lemahnya sistem pendidikan sedia ada.
Beliau mengetuai Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah dan baru-baru ini mengumumkan akan bertanding bagi kerusi Sibuga, yang pada masa ini dipegang Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Bercakap mengenai program tuisyennya, Jufazli berkata beliau terkejut kerana pelajarnya terlalu lemah dalam bahasa Inggeris termasuk membaca serta berfikiran kritikal.
Katanya, kesedaran pelajar terhadap “isu serius seperti rasuah” juga rendah.
“Dengan kegagalan kerajaan untuk membangunkan sistem pendidikan yang melahirkan kemampuan pelajar berfikiran kritikal, tidak mengejutkan apabila rasuah wujud di semua peringkat masyarakat di Sabah,” katanya kepada FMT.
Program tuisyen Jufazli disediakan untuk pelajar dari usia 4 hingga 22 tahun, dipanggil Sekolah Rakyat Sabah. Ia menguruskan 80 pelajar tetapi Jufazli berkata setakat ini, 300 orang sudah berdaftar.
“Kami hanya ada 4 guru sukarelawan. Walaupun kami mahu menempatkan sebanyak yang boleh, kami tetap perlu memastikan semua murid menerima perhatian yang diperlukan.
“Jadi kami pada masa ini memberikan keutamaan kepada pelajar paling miskin dan kanak-kanak tanpa tahap warganegara,” katanya.
Program itu mengajar subjek teras di sekolah seperti bahasa Inggeris, membaca, menulis dan mengira. Selain itu, murid diajar mengenai sejarah Sabah dan Sarawak, kelas agama dan bagi pelajar lebih tua, sains politik.
Jufazli sangat popular di media sosial dan mempunyai hampir 65,000 pengikut.
Katanya, beliau berharap untuk membesarkan lagi Sekolah Rakyat Sabah.
“Dalam tempoh 10 tahun, saya harap untuk melaksanakan sistem pendidikan percuma di mana ia boleh melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan mampu berfikiran kritikal.
“Dengan cara ini, Sabah dapat mencipta lebih banyak pemimpin untuk menjamin masa depannya,” katanya.