
“Setakat ini, tidak ada pilihan baik,” CNN memetik Prof Ming Wan yang mengajar bidang pentadbiran dan politik di George Mason University, Virginia.
“Mereka (rakyat Malaysia) tersangkut.”
Empat keluarga staf kedutaan Malaysia di Pyongyang kini terkandas selepas Pyongyang mengarahkan mereka dilarang keluar. Ia susulan kedua-dua negara bertikam lidah mengenai kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri diktator Korea Utara, Kim Jong Un, bulan lepas.
Selepas Kedutaan Korea Utara enggan bekerjasama dengan polis Malaysia, Putrajaya bertindak mengusir duta besarnya, Kang Chol. Pyongyang membalas tindakan itu dengan melarang 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu. Dua daripada mereka bagaimanapun dibenarkan pulang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia kini masih berunding dengan Korea Utara untuk memastikan semua rakyatnya pulang.
Situasi rumit dihadapi Najib
Bagaimanapun, pemerhati berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berdepan situasi “yang tidak pernah dihadapi mana-mana pemimpin Malaysia”.
“Tidak pernah berlaku kes di mana diplomat Malaysia terperangkap dalam pertelingkahan dengan negara lain,” kata pakar politik Malaysia, Yang Razali dari S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura.
CNN turut menyenaraikan 3 pilihan yang ada bagi membawa pulang diplomat Malaysia, termasuk menghantar misi serangan khas ke Pyongyang, seperti mana dilakukan Washington ketika krisis tebusan 444 hari melibatkan 52 warga Amerika Syarikat di kedutaannya di Tehran, berikutan Revolusi Islam Iran.
Dalam peristiwa itu yang turut diceritakan dalam filem Hollywood “Argo” dibintangi Ben Affleck, misi tentera AS pada 1980 gagal menyelamatkan stafnya yang ditahan aktivis revolusi Iran, selepas helikopter tempur yang dihantar AS mengalami kerosakan dan juga terhempas, mengakibatkan kematian 8 askar AS.
Seorang bekas agen perisikan AS, Steve Hall, berkata misi seumpama itu mustahil dilakukan oleh Malaysia.
Hall berkata Korea Utara lebih berpeluang bawa pulang rakyatnya kerana negara itu sukar diduga tindakannya.
“Dengan Pyongyang, anda tidak boleh menolak apa-apa kemungkinan,” kata Hall. “Sukar menduga apa tindakan Korea Utara seterusnya.”
Faktor pilihan raya
Pilihan kedua di tangan Najib ialah membenarkan rakyat Korea Utara, yang dikenalpasti sebagai suspek pembunuhan Jong Nam, pulang dengan selamat.
Bagi Razali, ia bukan sesuatu yang berani dilakukan Najib di sebalik desas desus pilihan raya umum yang semakin hampir.
“Najib tidak mampu menampakkan beliau lemah,” kata Razali.
Manakala pilihan ketiga untuk Najib ialah meneruskan rundingan dengan Korea Utara dalam konteks politik antarabangsa.
Menurut Prof Wan, ini termasuk menggunakan China, negara paling hampir dengan Pyongyang.
Ia bagaimanapun bukan mudah, katanya, kerana regim Pyongyang bukan kuasa yang akur terhadap tekanan antarabangsa.
“Mereka mempunyai pendekatan berlainan sama sekali dalam soal nyawa manusia dan hak kemanusiaan. Ia sebuah regim yang kejam,” kata pakar Asia Pasifik di Institut Kajian Strategik Antarabangsa, Alexander Neil dipetik CNN.