
Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ini kerana isu itu melibatkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“(Isu ini) boleh menimbulkan keresahan seterusnya menggugat keharmonian beragama dalam negara.
“Kerajaan akan mengambil langkah penerangan yang sewajarnya terhadap pihak yang mempersoalkan kehadiran penceramah ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana penerangan itu dilakukan dan pihak yang disasarkan.
Jamil menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung kehadiran Zakir serta bantahan “kumpulan aktivis liberal” mengenai isu itu.
Marzuk juga ingin tahu jika kerajaan akan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit yang menurutnya boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama di Malaysia.
Antara pihak yang membantah kehadiran Zakir ialah 19 individu, termasuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy yang memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia atas dakwaan melindungi Zakir di negara ini.
Jamil mempertahankan tindakan Putrajaya mengalu-alukan Zakir ke negara ini dengan menyifatkan pendakwah terbabit sentiasa menggalakkan keharmonian dalam masyarakat.
“Zakir lebih mempromosikan kesepaduan dan tidak pernah berlaku rusuhan dalam majlisnya. Mungkin ada yang menolaknya kerana tidak pernah bersama di program beliau.”
Katanya, pendakwah asing boleh menganjurkan program di negara ini dengan syarat mereka mendapat kebenaran pihak berkuasa agama dan tauliah daripada mufti, selain kerajaan akan memastikan faktor keselamatan terjamin.
Menurut laporan media sebelum ini, Zakir dilarang mengadakan program di negara kelahirannya, India, serta Bangladesh, United Kingdom dan Kanada.