Anggota polis agama Saudi ganggu tarian zapin Malaysia?

Anggota polis agama Saudi ganggu tarian zapin Malaysia?

Identiti lelaki Arab yang menimbulkan kekecohan sehingga memaksa sekumpulan penari Malaysia menghentikan persembahan dikaitkan dengan pasukan mutaween.

saudi-religious-police
PETALING JAYA: Seorang lelaki Arab yang menimbulkan kekecohan ketika persembahan tarian zapin dari Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) 2017 di Riyadh, Arab Saudi minggu lalu, merupakan seorang anggota polis agama negara itu, menurut laporan sebuah harian Arab Saudi.

Arab News dalam laporannya mengenai sebuah konsert oleh penyanyi kelahiran Saudi, Rashed Al-Majed, berkata masih terdapat tentangan daripada beberapa pihak walaupun pihak berkuasa Saudi kini mengamalkan dasar lebih terbuka dalam aspek hiburan.

“Bagaimanapun, masih ada tentangan. Khamis lalu, seorang anggota polis agama mengganggu persembahan muzik sebuah kumpulan dari Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh, merosakkan sistem audio mereka,” lapor harian berbahasa Inggeris itu.

Dalam kejadian 9 Mac itu, seorang lelaki Arab tidak dikenali mencampak mikrofon serta alat muzik ke lantai bagi membantah persembahan ghazal dan zapin Malaysia yang disertai 12 pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor.

Persembahan tersebut di atas jemputan penganjur RIBF, yang pada tahun ini memilih Malaysia sebagai tetamu kehormat, di mana seni dan budayanya akan dipertontonkan kepada pengunjung.

Insiden itu berlaku selang 2 minggu selepas kunjungan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia, yang menyaksikan hubungan kedua-dua negara di tahap paling baik dengan pelbagai perjanjian dagang berbilion dolar dimeterai.

Bernama sebelum ini melaporkan pihak Arab Saudi memohon maaf atas kekecohan itu, tetapi identiti lelaki terbabit masih belum diumumkan.

Polis agama Arab Saudi juga dikenali sebagai mutaween, dan ditugaskan menguatkuasa nilai agama berdasarkan takrifan ulama negara itu yang rata-rata mengamalkan ajaran Wahabi, aliran Islam yang disifatkan tegas dalam soal kebebasan dan hiburan.

Pasukan itu diletakkan di bawah Jawatankuasa Amar Ma’ruf wa Nahi Munkar yang ditugaskan mengawal peri laku rakyat Saudi yang dikatakan melanggar nilai Islam.

 

Tarian zapin Malaysia di Arab Saudi kecoh selepas lelaki mengamuk

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.