‘Itu gimik Husam, cawangan PAS belum terkubur’

‘Itu gimik Husam, cawangan PAS belum terkubur’

Naib yang dipertua PAS kawasan Tumpat berkata, AJK cawangan Kampung Laut masih bersama PAS dan hanya parti itu serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan boleh membubarkan cawangan itu.

pas-husam
PETALING JAYA: PAS menyifatkan dakwaan sebuah cawangan PAS dalam kawasan menteri besar Kelantan terbubar kerana hilang kepercayaan pimpinan akar umbi sekadar gimik politik Datuk Husam Musa dan Amanah, kata setiausaha politik Datuk Ahmad Yakob.

Ia susulan dakwaan Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah kononnya PAS cawangan Kampung Laut yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan, Tumpat dibubarkan selepas ketua cawangannya, Nordin Adam dan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) menyertai Amanah pada sebuah ceramah Khamis lalu.

Ahmad ialah adun Pasir Pekan serta yang dipertua PAS kawasan Tumpat.

“Setakat ini, tiada lagi cawangan PAS yang ditutup secara rasmi. Yang ada hanya pengumuman pihak tertentu sahaja dan apa yang dilakukan Husam baru-baru ini hanya gimik politik.

“Husam pergi Pulau Melaka, dia isytihar anak tok guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sebagai calon Amanah. Datang ceramah Kampung Laut, isytihar Nordin sebagai calon.

“Yang serah borang sertai Amanah hanya Nordin seorang setahu saya. AJK dalam cawangan tersebut masih bersama dan yang bubar cawangan itu bukan hak ketua cawangan, tetapi hak parti dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS),” kata Wan Roslan Wan Hamat kepada FMT.

Roslan yang juga naib yang dipertua PAS kawasan Tumpat menyifatkan tindakan Nordin menyertai Amanah “meringankan beban” PAS, sekaligus membersihkan parti Islam itu daripada pemimpin bermasalah yang menikam parti dari belakang.

“(Tindakan) Nordin keluar (parti), kalau ikutkan beban dalam PAS semakin ringan sebab tidak ada pihak yang membawa masalah kepada parti dan untuk makluman, Nordin sebagai ketua PAS cawangan Kampung Laut tidak hadir mesyuarat dan usrah 2 minggu sekali di peringkat DUN. Dia sudah lama mempunyai masalah.”

Malah, katanya, tindakan Nordin menyertai Amanah tidak menjejaskan PAS cawangan Kampung Laut dan jawatannya akan disandang timbalan atau AJK lain.

“Tidak sampai 24 jam ketua PAS cawangan Kampung Laut keluar parti menyertai Amanah, lebih 200 anak muda di kawasan terbabit menyerahkan borang menyertai PAS,” katanya.

 

Cawangan PAS dalam DUN MB Kelantan bertukar Amanah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.