
Beliau berkata apabila pelabur meninggalkan China ia akan menjejaskan ekonomi domestik China.
“Malaysia juga secara tidak langsung terjejas kerana keseluruhan perdagangan kita dengan China ialah 16% daripada keseluruhan nilai dagangan negara iaitu RM1.5 trilion.
“Jadi jika ekonomi domestik China terjejas, sampai satu tahap kita juga akan terkesan,” kata kepada wartawan pada satu majlis komuniti di Jelatak, hari ini.
Sementara itu, pakar ekonomi veteran Hoo Ke Ping memberi pandangan sama.
Hoo berkata kawalan modal China akan melemahkan pelaburan asing baharu di China daripada syarikat multinasional dan menolak syarikat sedia ada untuk membawa perniagaan mereka ke tempat lain.
“Jika syarikat multinasional, terutama mereka yang terbabit dalam aktiviti pembuatan meninggalkan China, maka kita juga akan terjejas kerana permintaan untuk eksport ke China daripada syarikat multinasional berkenaan akan menurun.
“Jadi syarikat Malaysia yang mengeksport produk separuh siap ke China di mana proses pembuatan disiapkan akan terjejas,” katanya.
Baru-baru ini, dilaporkan projek Forest City di Johor mungkin berdepan kesukaran dengan pemajunya, syarikat Country Garden dari China selepas ia menutup semua pusat jualannya di China susulan langkah kawalan modal.
Forest City ialah bandar pintar bercirikan futuristik yang dibina di 4 pulau buatan manusia dengan keluasan 1,385 hektar. Dengan kos RM100 bilion, ia dijangka siap dalam tempoh 20 tahun dan akan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk perumahan, pejabat dan pusat beli-belah.
Alan Ho, bekas ejen jualan di syarikat Country Garden di Malaysia berkata kira-kira 90% pembeli di Forest City dari China.