SKMM sekat Majalah Dabiq, Rumiyah sebar fahaman IS

SKMM sekat Majalah Dabiq, Rumiyah sebar fahaman IS

Datuk Jailani Johari berkata penularan laman dalam talian itu dibimbangi akan menyebabkan golongan belia terpengaruh untuk menyertai gerakan militan tersebut.

Jailani-Johari_isis_web_6
HULU TERENGGANU:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenal pasti 2 laman sesawang yang aktif menyebarkan fahaman militan IS dalam kalangan golongan belia di negara ini.

Timbalan menterinya, Datuk Jailani Johari berkata penularan laman dalam talian iaitu “Majalah Dabiq” dan “Rumiyah” dibimbangi akan menyebabkan golongan belia terpengaruh untuk menyertai gerakan militan tersebut.

“Saya mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencari dan menyekat sebaran fahaman IS kerana kita tahu laman sesawang yang sebelum ini sudah disekat SKMM, ada lagi yang masih aktif dengan banyak.

“Kita risau kerana golongan belia aktif menggunakan Internet dalam kehidupan seharian dan mereka adalah golongan yang mudah terjerumus dalam fahaman negatif ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata anak yang kurang mendapat perhatian dan kurang kasih sayang khususnya daripada ibu bapa dan keluarga amat mudah terjebak dalam fahaman militan kerana masa terluang dihabiskan dengan melayari Internet.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa supaya sentiasa memantau anak mereka agar tidak terlalu obses kepada Internet kerana mereka mempunyai lebih ramai rakan maya berbanding di dunia realiti.

“Mereka banyak menghabiskan masa di depan komputer, kadangkala mereka tidak sedar masa yang dihabiskan menyebabkan mereka tidak bergaul dengan masyarakat di sekeliling mereka.

“Perkembangan sesebuah teknologi itu bagus…biar kita menguasai teknologi baru ia menjadi sesuatu yang berguna…bukan teknologi yang menguasai kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.