Rayuan akhir kes bunuh Sosilawati Khamis depan

Rayuan akhir kes bunuh Sosilawati Khamis depan

Suspek kalah dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 4 Dis 2015.

Sosilawati
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Mac ini untuk keputusan akhir rayuan oleh 4 lelaki yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta 3 pembantunya.

Ketika dihubungi Bernama, Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili R Matan, berkata mereka menerima surat bertarikh 3 Mac daripada pendaftar Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan tentang tarikh keputusan itu.

Hisyam Teh Poh Teik, peguam yang mewakili seorang lagi perayu, T Thilaiyalagan turut mengesahkan tarikh bagi keputusan itu ditetapkan pada 16 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, ketika dihubungi berkata, beliau dimaklumkan tentang tarikh keputusan itu semalam.

Pada 8 Nov tahun lalu, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan rayuan itu selepas mendengar penghujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan 3 Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Bekas peguam N Pathmanabhan, 46, dan pekerja ladang Matan, 25, Thilaiyalagan, 24, dan R Kathavarayan, 36, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013, kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didapati bersalah melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Sosilawati dan 3 pembantunya dilaporkan hilang sehari selepas mereka didakwa pergi ke Banting untuk tujuan jual beli tanah.

Pathmanabhan, Matan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan kalah dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada
4 Dis 2015.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, seorang daripada hakim dalam panel itu, dalam penghakimannya berkata keterangan langsung menunjukkan Sosilawati dan pembantunya berada di ladang kepunyaan Pathmanabhan ketika mereka menemui ajal.

Mereka disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013 kerana melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting pada 30 Ogos 2010.

Peguam Gurbachan Singh turut mewakili Thilaiyalagan manakala Manjeet Singh Dhillon bagi Pathmanabhan dan T Vijayandran bagi Kathavarayan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.