Surirumah didakwa lecurkan bayi

Surirumah didakwa lecurkan bayi

Wanita itu mengasuh 2 kanak-kanak iaitu mangsa dan abang mangsa di rumahnya.

baby_law_600
KUALA LUMPUR:
Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini, atas pertuduhan mengakibatkan lecur ke atas seorang bayi lelaki.

Norashikin Roslan, 35, didakwa mengakibatkan lecur ke atas mangsa yang berusia 6 bulan 17 hari di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Mutiara, Taman Ukay Bistari, Ampang pada 2 Disember tahun lalu.

Wanita yang sudah berkahwin itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Nor Asyikin Zakaria memohon mahkamah membenarkan jaminan paling minimum dengan alasan suami tertuduh bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,700 sebulan dan menyara 6 anak berusia antara 5 hingga 17 tahun.

“Penjamin memberi akujanji untuk memastikan kehadiran isterinya.

“Jaminan tidak seharusnya bersifat menghukum dan membebankan penjamin, selain anak guam saya juga hadir secara sukarela ke mahkamah hari ini,” kata peguam itu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan tertuduh merupakan surirumah dan mengasuh 2 kanak-kanak iaitu mangsa dan abang mangsa yang berusia 4 tahun di rumahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.