
Itu soalan PKR kepada kerajaan negeri Sarawak selepas langkahnya untuk memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB), pemilik dan operator Stesen Hidroelektrik (HEP) Bakun, daripada kerajaan persekutuan.
Naib Presiden PKR Sarawak See Chee How berkata biasanya dan menjadi amalan standard untuk audit dijalankan sebelum pelaburan besar dibuat.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memetik liabiliti bukan semasa syarikat itu sebanyak RM5.25 bilion dan liabiliti semasa ialau RM907 juta pada penghujung 2015.
“Dalam tempoh masa panjang, adakah ini akan menjadi beban kewangan besar kepada negeri dan semua rakyat Sarawak?
“Untuk jangka panjang, kita perlu mempertimbangkan komitmen kewangan dalam membayar hutang dan pendapatan yang boleh dijana daripada kemudahan bekalan elektrik dalam negeri ini,” katanya.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg awal hari ini mengumumkan syarikat utiliti negeri, Sarawak Energy Bhd, akan mengambil alih ekuiti daripada Kementerian Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Beliau berkata dengan urus niaga itu, pemilikan dan operasi Bakun, pelan hidroelektrik terbesar di Malaysia itu akan dikembalikan sepenuhnya pada Sarawak.
See yang juga Adun Batu Lintang berkata tidak benar yang pengambilalihan daripada pihak berkuasa persekutuan itu dibuat dengan konsesi besar.
“Dengan persetujuan untuk membeli kepentingan ekuiti syarikat itu pada RM2.3 bilion dan membawa liabiliti lebih RM6 bilion, kita sekarang mengambil alih empangan hidroelektrik kuasa pada harga lebih RM8 bilion,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Sarawak sebelum ini pernah mencuba memperoleh loji Bakun pada nilai RM7.3 bilion pada 2011.
Walaupun ia tidak berjaya dilaksanakan, kerajaan negeri terbabit dalam perjanjian pembelian bekalan elektrik selama 30 tahun bermula 1 Jun 2011 untuk membeli elektrik daripada SHSB dengan harga 6.25 sen per kilowat sejam.
“Tidak dinafikan, Sarawak Hidro membuat keuntungan tetapi ia kerana perjanjian pembelian jana kuasa dengan Sarawak,” katanya, berkata anggaran nilai jana kuasa elektrik SHSB ialah RM7.29 bilion.
“Keseluruhan pendapatan Sarawak Hidro ialah daripada jualan bekalan elektrik ke Sarawak.
“Kita sekarang akan menjual elektrik kepada diri sendiri dan pada masa ini, kedua-dua empangan Bakun dan Murum beroperasi pada tahap sekurang-kurangnya separuh daripada kapasiti,” katanya.
See berkata tidak salah untuk Sarawak “menyelamatkan kerajaan persekutuan yang bermasalah kewangan”, tetapi kerajaan negeri perlu memastikan wang itu akan memberi manfaat kepada Sarawak dalam perkara seperti membiayai Lebuh raya Pan-Borneo dan pembangunan luar bandar serta projek transformasi.
Beliau mendesak Abang Johari untuk mendedahkan butiran penuh kewangan pemerolehan itu, rancangan jangka pendek dan panjang kerajaan negeri bagi memenuhi komitmen kewangan serta bagaimana langkah itu boleh memberi manfaat pada Sarawak.