Kes jualan tanah, rayuan bekas isteri Ghafar Baba ditolak

Kes jualan tanah, rayuan bekas isteri Ghafar Baba ditolak

D Heryati Abdul Rahim merayu terhadap keputusan mahkamah menolak samannya terhadap Tan Sri Lau Ban Tin kerana didakwa melanggar kontrak, untuk mendapatkan semula sebidang tanah bernilai RM1 juta.

law_tanah_600
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan bekas isteri allahyarham Tun Ghafar Baba berhubung saman beliau terhadap pasangan suami isteri yang didakwanya melanggar kontrak berhubung penjualan sebidang tanah di Jelebu, Negeri Sembilan.

Keputusan itu dicapai oleh panel 3 hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Rohana Yusuf, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Dalam keputusan sebulat suara, Rohana yang mempengerusikan panel itu berkata mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan yang boleh dirayu dalam asas penghakiman hakim Mahkamah Tinggi untuk mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

“Kami bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi dan mengesahkan perkara sama,” katanya ketika menolak rayuan itu dengan kos RM10,000, yang perlu dibayar oleh D Heryati Abdul Rahim.

Heryati, 55, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April tahun lepas dalam menolak samannya terhadap pemaju Tan Sri Lau Ban Tin dan isterinya, Puan Sri Mary Lee Siew Cheng, kerana didakwa melanggar kontrak, untuk mendapatkan semula sebidang tanah yang didakwanya bernilai RM1 juta.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Keng berkata saman Heryati itu difailkan di luar tempoh masa, sedangkan ia sepatutnya difailkan dalam tempoh 6 tahun dari tarikh kontrak yang dikatakan dilanggar pada 2005 dan bukannya pada 2015.

Dalam saman yang difailkan pada 5 Februari 2015, Heryati mendakwa pasangan suami isteri itu gagal untuk memindahkan pemilikan 8 hektar tanah di Jelebu kepadanya berdasarkan perjanjian pada 20 Jun 2000.

Beliau mendakwa pada masa itu, beliau masih isteri kepada bekas timbalan perdana menteri dan memiliki bersama saham dalam syarikat Zamrudvest Sdn Bhd, yang mengendalikan francais di bawah “EON Dealers and Franchise”.

Beliau mendakwa sekitar 2000, beliau dan Ghafar memutuskan untuk menjual perniagaan itu kepada defendan pada harga RM300,000.

Heryati mendakwa transaksi itu tidak termasuk penjualan tanah di Jelebu (dimiliki oleh syarikat), dan pemilikan sepatutnya dipindahkan kepada beliau sebaik saja geran individu dikeluarkan.

Beliau mendakwa berdasarkan rekod rasmi pejabat tanah, tanah itu dipindahkan kepada Lau pada 19 Februari 2004, dan pada 16 April 2013, kepada Tengku Ramli Tengku Mohd Kamil.

Dalam afidavit jawapan yang difailkan pada 20 April 2015, kedua-dua defendan menyatakan Heryati memfailkan permohonan melebihi had masa dan Heryati perlu membuktikan kedudukan beliau dalam syarikat tersebut dulu sebelum membuat tuntutan.

Heryati diwakili peguam Kevin Mahendran manakala peguam Low Peck Lim mewakili pasangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.