Kelantan perlu pembangunan menyeluruh, bukan hanya sekolah tahfiz

Kelantan perlu pembangunan menyeluruh, bukan hanya sekolah tahfiz

Walaupun Kelantan lahirkan ramai pelajar tahfiz tetapi ia antara negeri termiskin di Semenanjung

raja-bahrin-pas
KUALA LUMPUR:
Amanah hari ini menasihatkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak mengutamakan pembangunan rohani semata-mata, selepas menteri besar mendakwa negeri itu mementingkan modal insan kerana berjaya melahirkan ramai tahfiz Al-Quran.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pengurusan dan pentadbiran Kelantan haruslah menyeluruh dari segi ekonomi, kebajikan umum dan pengurusan harian rakyat, bukan hanya dari segi kerohanian.

“Islam sendiri mendidik penganutnya untuk mementingkan pembangunan rohani dan jasmani.

“Kelantan mempunyai banyak masalah antaranya isu alam sekitar yang selalu dibangkitkan dengan pembalakan yang tidak terkawal.

“Masalah banjir pada tahun 2014 sehingga hari ini masih belum diatasi sepenuhnya, sedangkan ia perlukan pembelaan dari kerajaan negeri,” katanya kepada FMT, di luar Dewan Rakyat hari ini.

PAS yang memerintah Kelantan sejak 1990 sejak akhir-akhir ini berdepan kritikan gagal menjalankan tanggungjawab ekonomi, termasuk dalam isu hasil balak dan kekerasan terhadap penduduk Orang Asli di Gua Musang.

Pada Sabtu lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menafikan tuduhan sesetengah pihak sambil menafikan dakwaan pentadbiran Kelantan gagal menjaga kebajikan rakyat.

Ahmad berkata, Kelantan mampu melahirkan golongan tahfiz di sekolah kelolaan negeri itu, yang menurutnya adalah bukti negeri itu mampu melahirkan ramai modal insan.

Raja Kamarul berkata, Kelantan tidak seharusnya menafikan hakikat bahawa penduduk di negeri itu merupakan antara penduduk yang termiskin di Semenanjung Malaysia.

“Di Kelantan, walaupun lahirkan ramai pelajar tahfiz, Kelantan antara negeri termiskin di Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad berkata, sebarang teguran dilontarkan oleh mana-mana pihak terhadap pentadbiran Kelantan haruslah diambil kira.

Katanya, Kelantan tidak seharusnya beranggapan pentadbiran mereka sebagai pemimpin negeri yang maksum.

“Kena akui, akan ada benda-benda yang Kelantan kurang, tersilap dan terlepas pandang, maka kita kena terima teguran dan respon dengan baik.

“Kita akui, Kelantan memang berjaya dari segi program maahad tahfiz tetapi program kemasyarakat lain seperti ekonomi nampaknya macam ketandusan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.