
Timbalan Pengarah Program Unit Penghantaran Smart Selangor Dr Fahmi Ngah berkata aplikasi itu membolehkan penduduk di kawasan Klang membuat aduan mengenai sampah, dan ia hanya perlu dimuat turun menggunakan Android Play Store khas.
Beliau berkata belum pun setahun aplikasi itu dilancarkan, jumlah aduan sampah berjaya dikurangkan secara mendadak dengan kutipan sampah syarikat lantikan Waste Management KDEB Sdn Bhd turut meningkat.
“Berdasarkan statistik sejak Julai 2016, lebih 900 aduan diterima dalam sebulan dan angka itu menurun kepada 45 aduan pada Januari 2017.
“Kini aduan mengenai sampah lebih stabil dan ini menunjukkan sistem ini berjaya membuat pungutan dan menyelesaikan masalah sampah dengan berkesan. Setiap aduan diterima berjaya diselesaikan dalam masa 24 jam,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata purata kutipan pada Julai 2016 ialah 450 tan sehari dan jumlah mula meningkat pada Februari 2017 kepada 620 tan sehari.
“Wujud peningkatan dalam jumlah sampah kerana kita menggunakan sistem iClean dan aset jentera baharu lebih berkualiti,” katanya.
Fahmi berkata majoriti penduduk Klang berpuas hati dengan sistem yang diperkenalkan kerajaan negeri dan turut diakui Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Katanya, susulan kejayaan di Klang, kerajaan negeri sekali lagi memberi mandat kepada KDEB untuk memperluaskan kawasan operasi aplikasi iClean ke Ampang Jaya dan Selayang.
“Bermula 1 Mac, penduduk di kawasan berkenaan juga boleh membuat aduan lokasi sampah tidak dikutip menggunakan telefon pintar,” katanya.