Harga minyak mingguan jejas pengusaha luar bandar

Harga minyak mingguan jejas pengusaha luar bandar

Rafizi Ramli berkata umum harga baharu minyak setiap minggu akan menyebabkan pengusaha stesen minyak luar bandar “gulung tikar”.

rafizi-minyak
PETALING JAYA: Pengumuman harga siling bahan api setiap minggu mulai bulan depan akan menjejaskan pendapatan pengusaha stesen minyak di luar bandar, kata Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata pengusaha minyak di luar bandar tidak mampu untuk menurunkan harga yang lebih rendah berbanding harga siling.

“Mereka dibayar mengikut jumlah liter petrol dan diesel yang dijual setiap bulan. Di kawasan luar bandar jumlah isi padu jualannya lebih rendah kerana jumlah penduduk yang kurang padat.

“Pengusaha stesen minyak mungkin dituduh mengambil untung berlebihan apabila mereka tidak menurunkan harga minyak di bawah harga siling yang akan memburukkan lagi pendapatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hamzah Zainuddin berkata harga siling bahan api akan diumumkan setiap minggu mulai bulan depan.

Beliau berkata ketetapan harga siling minyak itu mungkin akan diumumkan pada hari Isnin atau Sabtu setiap minggu berbanding ketika ini ia hanya dilakukan sebulan sekali.

Katanya, kerajaan menetapkan harga bagi mengelak bahan bakar itu melebihi harga sepatutnya di pasaran.

Rafizi berkata tindakan kerajaan itu juga boleh menyebabkan pengusaha stesen minyak di luar bandar “gulung tikar” kerana penjualan minyak yang tidak menguntungkan.

Katanya, harga minyak akan tetap tinggi kerana harga siling tidak berfungsi untuk mengekang kenaikan harga minyak tanpa mekanisme subsidi.

“Syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak melihat operasi stesen minyak di luar bandar tidak menguntungkan.

“Ini menimbulkan risiko syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak elak membuka lebih banyak stesen di luar bandar atau mungkin akan menjalankan rasionalisasi untuk menutup stesen di luar bandar yang tidak menguntungkan,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata cadangan memperkenalkan harga siling dan semakan mingguan tanpa mengembalikan subsidi hanya merugikan rakyat.

Katanya, langkah itu tidak boleh dilakukan tanpa kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengembalikan subsidi minyak kepada rakyat.

“Saya akan menunggu reaksi Hamzah menjawab perkara yang saya timbulkan ini.

“Saya akan memastikan maklumat yang tepat sampai kepada rakyat supaya Najib tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya memastikan harga minyak tidak membebankan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata satu mesyuarat bersama Hamzah akan diadakan esok bersama wakil PDAM seluruh negeri.

Katanya, pertemuan itu bagi berbincang dan menerangkan lebih lanjut mengenai usaha kerajaan dalam memperkenalkan harga siling dan semakan mingguan.

“Esok kita akan adakan pertemuan dengan menteri (Hamzah). Saya tidak mahu ulas mengenai tindakan kerajaan itu kerana kita belum mendapat penerangan daripada menteri.

“Lokasi dan masa pertemuan belum dimaklumkan lagi,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas tindakan kerajaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.