Tiada rekod polis hubungi kami, kata pejabat Guan Eng

Tiada rekod polis hubungi kami, kata pejabat Guan Eng

Pegawai khas undang-undang juga meminta polis mengenal pasti pegawai pejabat ketua menteri yang dihubungi mereka sebelum ini.

limguangeng-polis
PETALING JAYA: Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang berkata pihaknya tidak pernah dihubungi polis untuk menyambung rakaman percakapan kes fitnah terhadap Lim Guan Eng dan anak lelakinya antara 31 Disember 3013 hingga 23 Februari 2017.

Pegawai khas undang-undang Raja Syarafina Raja Shuib menjawab kenyataan Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid semalam mengatakan polis cuba mendapatkan tarikh temujanji daripada setiausaha ketua menteri tetapi tidak berjaya sejak diarahkan timbalan pendakwa raya di Putrajaya 30 Disember 2013.

“Semakan pejabat ketua menteri mendapati dalam tempoh tersebut, setiausaha pejabat ketua menteri tidak pernah dihubungi oleh pihak polis untuk kes tersebut,” kata Raja Syafarina dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah semakan juga mendapati pejabat ketua menteri tidak pernah menerima surat daripada polis sebelum 23 Februari untuk merakamkan keterangan atau percakapan ketua menteri berhubung kes tersebut.

Raja Syafarina mengingatkan pihaknya mengambil tindakan segera menetapkan tarikh temujanji pada 2 Mac 2017 apabila menerima surat polis pada 23 Februari 2017.

Beliau juga meminta polis mengenal pasti pegawai pejabat ketua menteri yang dihubungi mereka sebelum ini.

“Sekiranya benar polis tidak menghubungi pejabat ketua menteri dalam tempoh tersebut untuk kes tersebut, maka Pejabat Peguam Negara bertanggungjawab menjelaskan mengapa terdapatnya kelewatan,” katanya.

Pada 2 Mac lepas, The Malay Mail Online melaporkan Guan Eng mempersoalkan mengapa beliau ditanya sama ada mahu meneruskan kes itu 6 tahun selepas laporan polis dibuat.

Pada 19 Januari 2011 dan 12 Januari 2012, Guan Eng membuat laporan polis terhadap blog yang mendakwa anak lelakinya mencabul kehormatan seorang pelajar sekolah dan Guan Eng membayar M200,000 kepada perempuan itu supaya berita tidak disebarkan.

Guan Eng berkata pertemuan itu merupakan kali ke-3 keterangannya diambil dan membidas sikap acuh tak acuh Jabatan Peguam Negara dalam kes ini dan menegaskan beliau mahu meneruskan kes itu.

Selain daripada isu mendapatkan tarikh temujanji, Mior berkata polis mengambil masa untuk merakam 38 orang saksi dan mendapatkan laporan analisis bahan bukti daripada penyedia perkhidmatan laman web di Amerika Syarikat, forensik polis, Telekom dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia Malaysia (SKMM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.