
denggi dilaporkan sehingga 25 Februari tahun ini berbanding 54 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kumulatif kes dari Januari hingga 25 Februari pula adalah 14,513, berbanding 25,403 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
“Pemantauan lokaliti wabak demam denggi menunjukkan terdapat 678 lokaliti wabak yang masih aktif dan 94 lokaliti hotspot semasa, melibatkan 5 negeri iaitu Selangor (69 lokaliti), Perak (15 lokaliti), Kuala Lumpur dan Putrajaya (4 lokaliti) dan masing-masing 3 lokaliti di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan Bernama hari ini.
Noor Hisham berkata orang ramai yang berada di kawasan berwabak digalak menggunakan semburan aerosol, selain memberi kerjasama kepada anggota kesihatan yang menjalankan semburan kabut untuk membasmi nyamuk aedes.
Beliau berkata terdapat 50 kes positif chikungunya dilaporkan antara 15 Februari hingga 2 Mac iaitu 36 kes di Baling, Kedah dan 14 kes di Gombak, Selangor.
Katanya, simptom chikungunya adalah demam, ruam pada kaki, tangan dan badan, sakit badan atau sendi, sakit kepala dan jangkitan conjunktiva.
Bagi kes Zika pula, Noor Hisham berkata pemantauan sistem survelan virus berkenaan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 1 Januari hingga 25 Februari mendapati keputusan ujian ke atas 235 sampel darah dan air kencing adalah negatif.
“Memandangkan transmisi jangkitan denggi, chikungunya dan zika adalah melalui vektor yang sama iaitu nyamuk aedes, KKM menyeru masyarakat meningkatkan langkah pencegahan.
“Mereka perlu sentiasa membersihkan kawasan kediaman, premis serta tempat pembiakan Aedes,” katanya sambil menasihatkan orang ramai mendapatkan rawatan jika mempunyai gejala seperti ruam dan sakit sendi.